Op Lejang banteras curi kenderaan di Pasir Mas - Utusan Malaysia

Op Lejang banteras curi kenderaan di Pasir Mas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG – Sembilan buah bengkel motosikal dan kenderaan yang tidak berdaftar sekitar kawasan ini diperiksa polis menerusi Op Lejang.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, pemeriksaan itu bertujuan mengesan kenderaan curi.

Menurutnya, sepanjang Op Lejang itu seramai 77 individu serta 117 buah kenderaan membabitkan kereta (45), motosikal (54) dan lori (17) telah diperiksa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Op Lejang ini menunjukkan komitmen tinggi polis dalam mengekang aktiviti curi kenderaan terutama motosikal dan akan dipertingkatkan dari masa ke masa.

“Kes kecurian motosikal menunjukkan penurunan yang mana pada 2018 sebanyak 96 kecurian direkodkan bagi tempoh setahun berbanding hanya 16 kes bagi tiga bulan pertama tahun ini,” katanya ketika ditemui pada operasi itu di sini semalam.

Terdahulu, Abdullah bersama 50 anggota dan lapan pegawai telah turun padang melakukan pemeriksaan di beberapa buah bengkel di sekitar Gual Periok, Baroh Piah, Kubang Kuar, Bukit Pak Junoh dan Bukit Tandak.

Abdullah memberitahu, seorang lelaki berusia 20-an dicekup pada pukul 11.30 pagi di Kampung Bakat, Gual Periok di sini bagi membantu siasatan berhubung curi kenderaan.

Katanya, lelaki tersebut ditahan bersama sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipercayai kenderaan curi berpandukan kepada hasil pemeriksaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kereta itu telah hilang pada 30 November tahun lalu di Wakaf Bharu.

“Lelaki ini kita reman selama seminggu bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 397 (A) Kanun Keseksaan.

“Kita akan terus menggandakan operasi dalam usaha mengekang masalah curi kenderaan di daerah ini,” katanya. – K! ONLINE 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini