Kekang percerobohan nelayan asing - Utusan Malaysia

Kekang percerobohan nelayan asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT 2 April – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan semua agensi penguatkuasaan bagi mengekang pencerobohan nelayan negara asing di perairan negara.

Pengerusi LKIM, Tuan Muhammad Faiz Fadzil berkata, usaha itu untuk mencari kaedah terbaik bagi menangani kerugian hasil tangkapan kira-kira 980,000 tan metrik yang bernilai kira-kira RM6 bilion setahun kepada negara dan nelayan.

Katanya, apa yang penting ialah aspek penguatkuasaan perlu dipertingkatkan dan menerusi perjumpaan dan perbincangan itu akan membolehkan semua pihak merangka kaedah yang konkrit untuk kepentingan bersama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Masalah dan ketirisan berlarutan sejak lebih 30 tahun dan ia perlu ditangani segera kerana telah menjejaskan pendapatan nelayan dan negara yang mempunyai banyak sumber tetapi masih dikaut nelayan asing.

“Perbincangan juga dirancang bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya harga ikan di pasaran dapat dikawal demi kepentingan nelayan dan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Majlis Ramah Mesra bersama masyarakat nelayan Besut di Kompleks LKIM Kuala Besut dekat sini hari ini.

Terdahulu, beliau meninjau proses mendaratkan ikan dari bot nelayan di kompleks itu di samping kerja-kerja di kilang projek ikan sejuk beku dan kilang ais milik Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut.

Beliau berkata, projek ikan sejuk beku yang diusahakan PNK Besut menerusi dana LKIM yang memasarkan ikan rakyat merupakan satu kaedah merangsang penurunan harga ikan supaya rakyat mendapat bekalan ikan segar pada harga yang sesuai di pasaran.

Sementara itu, beliau berkata, hasil lawatannya ke Terengganu selama dua hari mendapati masalah muara sungai cetek masih menghantui kehidupan nelayan sehingga memaksa nelayan Terengganu mendaratkan hasil tangkap di tempat lain seperti Kuantan, Pahang.

Ini tambahnya, menyebabkan pendaratan ikan di Terengganu berkurang yang mengakibatkan separuh daripadanya terpaksa dibawa masuk dari negeri-negeri lain untuk menampung permintaan rakyat negeri itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini