LONDON 1 April – Bekas pengurus England, Steve McClaren dipecat oleh kelab divisyen dua England, Queens Park Rangers, kata pengarah bola sepak, Les Ferdinand, hari ini.
Pengurus berusia 57 tahun itu meninggalkan QPR menghuni kedudukan ke-17 dalam Liga Kejuaraan dan hanya lapan mata dipisahkan daripada zon penyingkiran.
Jawatan McClaren yang akan diambil alih oleh pengurus sementara iaitu pembantunya, John Eustace, mengendalikan kelab itu pada musim panas lalu dan menerajui 46 perlawanan dalam semua pertandingan dengan mencatat 16 kemenangan serta 21 kalah.
“Steve telah bekerja keras sepanjang dia bersama kami. Tetapi kami mula menyusun perancangan untuk tahun depan kerana kami berasakan perubahan perlu dilakukan bermula dari sekarang, berbanding menunggu musim berakhir atau meletakkan risiko pada permulaan musim baharu,” kata Ferdinand dalam kenyataan tersebut. – AFP











