LONDON 1 April – Pengurus Manchester United Ole Gunnar Solskjaer berkata Paul Pogba merupakan jentera terpenting di Old Trafford sekalipun terdapat spekulasi bahawa pemenang Piala Dunia itu bakal berhijrah ke Real Madrid.
Bos Real, Zinedine Zidane dijangka menjadi individu paling sibuk dalam perpindahan jendela musim panas ini dalam usaha membangunkan semula pasukan yang tersingkir daripada Liga Juara-Juara di peringkat 16 akhir, selain ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona.
Pogba minggu lalu menggambarkan Real adalah kelab impian setiap pemain, manakala Zidane pada Sabtu lalu menyifatkan pemain tengah United itu tahu segala-galanya di atas padang selepas menyaksikannya beraksi bersama skuad kebangsaan Perancis.
Solskjaer bagaimanapun menganggap Pogba adalah salah seorang pemain paling berpotensi di dunia dan tidak akan menjadi sebahagian daripada pelan pembangunan semula Zidane, selain percaya pemain tersebut sekadar menjawab soalan secara ringkas.
“Saya tidak gemar untuk bercakap tentang pemain pasukan lain. Itu adalah salah satu cabaran ketika waktu rehat antarabangsa.
“Pemain akan sentiasa bersedia setiap hari dan suasana juga berbeza dan perbincangan juga secara umum.
“Paul adalah pemain yang sangat baik dan sopan. Dia sentiasa menjawab pertanyaan secara umum, tentu saja Zidane adalah ikon di Perancis.
“Zidane merupakan pengurus hebat dan dia pernah menjadi pemain hebat dan saya pernah bermain menentangnya.
“Jadi Paul menjawab dengan sopan soalan tersebut, tetapi dia gembira di sini. Dia akan menjadi sebahagian besar untuk skuad Red Devils.
“Saya selalu berkata bahawa anda perlu membangunkan pasukan anda daripada orang sekeliling dan ia akan membantu,” kata Solskjaer. AFP











