KUALA LUMPUR 1 April – Ketiadaan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bakal menjadikan perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sebagai sandaran utama untuk menampilkan aksi cemerlang pada Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, esok.
Ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek berkata, kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 750 bernilai AS$700,000 (RM2.86 juta) itu merupakan pentas terbaik untuk mencari keyakinan diri sebelum meneruskan kemaraan di pentas kejohanan antarabangsa lain.
Katanya, walaupun dia menjadi sandaran utama negara, namun, prestasi semasanya masih dalam pemantauan kerana pemain berusia 21 tahun itu masih belum menemui rentak permainan sebenar yang diperlukan.
“Sewaktu menang pada Terbuka Taiwan, dia masih mencari rentak permainan dan di pentas besar seperti Terbuka Malaysia ini dia perlu dapatkan rentak permainan untuk mara lebih jauh.
“Zii Jia memang ada potensi, tetapi bukan sekarang kerana banyak perkara yang perlu dipelajarinya khususnya untuk menstabilkan mentalitinya semasa berdepan lawan di dalam gelanggang.
“Dia memang sandaran kita di sini tetapi dia baru nak menapak selepas ketiadaan Chong Wei dan saya lihat tekanan itu memang ada tetapi ini adalah pentas terbaik untuk dia meyakinkan diri,” katanya ketika ditemui selepas sesi ujian gelanggang di Axiata Arena, hari ini.
Turut beraksi dalam kejohanan itu ialah pemenang pingat gangsa kejohanan dunia, Liew Daren; juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei dan Soniia Cheah dalam acara perseorangan wanita.
Bagi acara beregu lelaki, pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong; Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pasangan bebas, Mohd. Arif Ab. Latif-Nur Mohd. Azriyn Ayub, manakala, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen akan beraksi dalam beregu wanita.
Saingan beregu campuran menampilkan gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.
Zii jia akan memulakan aksi pertama bertemu pemain Thailand, Suppanyu Avihingsanon dan jika ke pusingan kedua dia kemungkinan berdepan cabaran juara dunia lima kali dari China, Lin Dan atau Chou Tien Chen dari Taiwan.
“Kalau diikutkan teknik, Zii Jia hanya memiliki separuh daripada apa yang dimiliki Lin Dan tetapi dia memiliki kelebihan dari segi fizikal dan perlu bijak menggunakan segala pengetahuan yang ada untuk menang,” kata Misbun.











