KUALA LUMPUR 1 April – Penerbit buku disarankan menerbitkan tiga judul buku baharu setiap hari bagi melayakkan Malaysia diberi taraf sebagai negara maju.
Jumlah itu bersamaan tidak kurang daripada 1,000 judul buku baharu setahun bagi setiap bilangan sejuta penduduk.
Sehubungan itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, dalam konteks populasi rakyat Malaysia yang akan mencecah 30 juta orang, negara perlu menerbitkan sekurang-kurangnya 30,000 judul buku baharu setahun.
Menurut Khalid, beliau yakin matlamat itu mampu dicapai dengan usaha semua pihak dan insentif secukupnya.
“Ya, insya-Allah kalau kita usahakan dengan bersungguh-sungguh dengan cukupnya insentif dan sebagainya.
“Memang sekarang ini jauh daripada itu malah data yang pernah ditunjukkan kepada saya bukan sekadar ia tidak tercapai dengan sasaran 30,000 buku setahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Anugerah Buku Negara 2019 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara, Hasan Hamzah dan Pengarang Majlis Buku Kebangsaan Malaysia merangkap Pengerusi 1 Jawatankuasa Pengelola, Abd. Wahab Ibrahim.
PBAKL 2019 yang berlangsung dari 29 Mac hingga 7 April, menempatkan 700 buah gerai melibatkan lebih 200 penerbit tempatan dan antarabangsa termasuk Arab Saudi, Indonesia, Brunei dan Singapura.
Kumpulan Utusan menerusi Utusan Publication & Distribution Sdn. Bhd. (UP&D) @ Tintarona Publication Sdn. Bhd. turut membuka ruang pameran buku di Dewan Tun Ismail sempena PBAKL dengan menawarkan tawaran hebat kepada pengunjung. – UTUSAN ONLINE.











