PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang setiausaha politik kerana disyaki menerima suapan berbentuk seutas jam tangan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM28,000.
Menurut sumber, lelaki berusia 47 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 5 petang tadi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.
“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai menerima jam tangan mewah itu sebagai dorongan membolehkan sebuah syarikat pembangunan mendapatkan projek-projek di bawah kelolaan sebuah kementerian,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek esok di Mahkamah Majistret Putajaya.- K! ONLINE











