KUALA TERENGGANU 1 April – Sebanyak 29 kompaun berjumlah RM22,000 dikeluarkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu ke atas majikan degil sepanjang Ops Kesan Kebangsaan 2019 Bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) peringkat negeri yang dilancarkan sejak awal pagi tadi.
Operasi yang berakhir pukul 2 petang itu melibatkan empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu.
Seramai 36 anggota yang dibahagikan kepada 10 kumpulan melakukan pemeriksaan ke atas 70 premis yang telah dikenalpasti sepanjang Ops pemutihan sepanjang Mac lalu.
Pengarah Perkeso negeri, Nora Yaacob memberitahu, dalam operasi tersebut, kompaun tertinggi yang dikeluarkan adalah RM4,000 dengan kesalahan tertinggi membabitkan majikan tidak mendaftar pekerja mereka dengan Perkeso.
“Ops Kesan dilancarkan serentak di seluruh negara bermula hari ini setelah kita beri masa sebulan iaitu tempoh pemutihan kepada majikan terbabit agar mendaftarkan pekerja mereka dengan Perkeso namun masih ada yang yang berdegil,” katanya selepas berakhir Ops Kesan hari ini.
Beliau berkata majikan yang didapati bersalah dikompaun antara RM500 hingga RM4,000 bagi satu kesalahan tidak mendaftar pekerja mereka. – UTUSAN ONLINE











