Fauzi, Presiden KMJ bagi penggal kelima - Utusan Malaysia

Fauzi, Presiden KMJ bagi penggal kelima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 1 April – Mohamad Fauzi Ishak menyandang jawatan Presiden Kelab Media Johor (KMJ) bagi penggal kelima berturut-turut tanpa ditentang mana-mana calon dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kelab itu di Hotel Mutiara di sini malam tadi.

Jurukamera Astro Awani itu dipilih bagi tempoh penggal 2019-2020 manakala Raja Jaafar Raja Ali (Sinar Harian) sekali lagi dipilih menjadi Timbalan Presiden I bagi penggal kedua.

Firdaus Yon dari Sinar Harian juga dipilih untuk penggal kedua sebagai Timbalan Presiden II manakala jawatan Setiausaha pula disandang Nor Baizura Basri (Bernama); Penolong Setiausaha (Nur Aqeela Arbaen-RTM) dan Bendahari (Mohd. Fahmi Yusof-Berita Harian).

Memuatkan artikel berkaitan…

Lapan ahli jawatankuasa KMJ yang baharu turut dipilih iaitu Nur Aisyah Mazalan (Utusan Malaysia); Effie Ghazzi Taib (Astro Awani/Hijrah); Azhar Mohd. Esa (Best FM); Awang Sebawi Awang Halil (RTM); Mohd. Akmall Shafiq Tino Mohd. Idham Daniel (Sinar Harian); R. Subramaniam (Tamil Malar); Annaz Md. Nor (RTM) dan Matthew Chin Seow Chek (China Press).

Mereka dipilih secara undian manakala dua lagi ahli jawatankuasa baharu akan dipilih secara lantikan dalam masa terdekat manakala Zazali Musa (The Star) dan Mohd. Sabran Md. Sani (Harian Metro) dipilih sebagai Pemeriksa Kira-kira.

Selain itu Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Abdul Hakim Ab. Rahman dilantik sebagai Penasihat KMJ.

SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI (kanan) menerima cenderamata daripada Mohamad Fauzi Ishak sebelum bermulan
SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI  (kanan) menerima cenderamata daripada Mohamad Fauzi Ishak sebelum bermulanya Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kelab Media Johor (KMJ) di Hotel Mutiara, Johor Bahru, Johor, malam tadi. – UTUSAN ONLINE/ BERNAMA

Perasmian majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali selaku wakil Menteri Besar, Datuk Osman Sapian yang merupakan Penaung KMJ.

Mohamad Fauzi ketika ditemui merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan ahli-ahli yang kembali memilihnya untuk menerajui KMJ bagi tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, kepercayaan tersebut tidak akan disia-siakannya dan berharap mendapat kerjasama daripada 113 ahlinya di seluruh negeri dalam menentukan hala tuju kelab tersebut.

“Kita ada banyak program sedang dirancang pada tahun ini yang diharapkan mendapat sambutan dan sokongan semua ahli KMJ,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar dalam ucapannya yang dibacakan Sheikh Umar, mahukan pengamal media memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan menyebarkan maklumat yang benar, tepat dan cepat kepada masyarakat.

Selain itu kata beliau, pengamal media perlu mencerminkan integriti menerusi penulisan sekali gus mendekatkan rakyat dengan pemimpin dan kerajaan negeri.

“Sekarang ini kita berhadapan dengan media baharu iaitu tular, ini boleh menjadi lebih tajam daripada virus, oleh sebab itu media amat penting untuk bantu kita dalam peringkat negeri bagi menyebarkan maklumat yang benar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini