KUALA LUMPUR 1 April – Memori indah lebih dua dekad ketika di negara ini sempena Sukan Komanwel 1998, menjadi faktor utama Chris Martin menerima tawaran sebagai ketua jurulatih renang Malaysia oleh Persatuan Renang Malaysia (ASUM).
“Malaysia sentiasa dalam ingatan saya sejak itu terutama kerana rakyatnya yang berbilang bangsa, cuacanya, melihat matahari yang terbit dan tenggelam di sini, sungguh indah. Saya juga sukakan makanan yang agak pedas di sini.
“Ketika Sukan Komanwel itu, saya melatih perenang England. Saya pernah menginap di sini beberapa minggu selepas temasya itu. Kini saya kembali juga kerana melihat banyak potensi renang di sini,” katanya pada hari pertama bertugas di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil di sini hari ini.
Martin yang berusia 50-an, memberitahu, pengalaman luasnya dalam kejurulatihan renang merangkumi 35 tahun iaitu 15 tahun di Amerika, 15 tahun di England dan Scotland serta lima tahun di Shanghai, China.
“Ramai pemegang rekod kebangsaan di Amerika dan United Kingdom serta pemenang dua pingat emas 100 meter kuak dada Sukan Olimpik Barcelona 1992, Nelson Diebel yang saya latih dalam tempoh itu,” kata anak jati Pennyslvannia, Amerika Syarikat ini.
Mengenai sasaran pada tahun pertamanya di sini, katanya, “saya tidak mempunyai apa-apa lagi ketika ini kecuali apabila tiba Terbuka Malaysia, akhir bulan ini, saya akan tengok bagaimana perenang-perenang menterjemahkan apa yang saya tunjuk ajar.
“Penting juga untuk mengetahui bagaimana pendekatan perenang-perenang ini dalam perlumbaan,” katanya yang mengakui dalam karier sebagai atlet, dia sendiri hanyalah seorang perenang biasa tanpa kejayaan istimewa.
Martin turut menolak untuk menyentuh sekiranya ada pihak yang mungkin turut cuba membandingkan latar belakang dan pencapaiannya bersama skuad renang negara dengan ketua jurulatih terdahulu, Paul Birmingham.
“Ini pengalaman baharu saya. Perkara yang di luar pengetahuan, itu juga bukan di bawah kawalan saya,” katanya yang mengakui dia seorang yang teruja dan taksub dengan karier renangnya selain mahu lebih terlibat dengan bakat-bakat renang peringkat akar umbi.- UTUSAN ONLINE











