PRK Rantau: SPR nafi sengaja lewatkan hari penamaan calon - Utusan Malaysia

PRK Rantau: SPR nafi sengaja lewatkan hari penamaan calon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menafikan dakwaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa suruhanjaya itu sengaja melewatkan hari penamaan calon untuk mengurangkan momentum kemenangan BN di dua PRK yang lalu.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata ,sebagai sebuah institusi perlembagaan yang anggotanya dilantik Yang di-Pertuan Agong, SPR sentiasa menunaikan tanggungjawab dan amanahnya dengan profesional serta tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam mana-mana pilihan raya.

“SPR ingin menekankan bahawa semua peruntukan undang-undang telah dipatuhi oleh SPR. Tarikh-tarikh penting bagi PRK DUN Rantau ditetapkan mengikut kesesuaian setelah mengambil kira semua faktor yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengulas lanjut, Azhar berkata, SPR telah menerima perakuan daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan mengenai pembatalan keputusan PRK DUN Rantau pada 26 Februari.

“Selaras dengan Perkara LVI(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, SPR dikehendaki mengisi kekosongan kerusi terbabit dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan tersebut berlaku. Jangka masa 60 hari itu akan berakhir pada 26 April,” katanya. 

“Bagi menguruskan penjalanan pilihan raya, SPR dikehendaki mengeluarkan writ pilihan raya tidak kurang empat hari dan tidak lebih 10 hari dari tarikh kekosongan yang disahkan oleh SPR selaras dengan Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958,” katanya.

Beliau berkata, SPR dalam perkara ini telah mengambil kira semua jangka masa yang ditetapkan oleh perundangan dan telah membuat mesyuarat khas pada 6 Mac bagi menetapkan tarikh-tarikh penting PRK itu.

“Dalam masa yang sama, SPR juga membuat persiapan bagi menghadapi PRK DUN Semenyih yang telah diadakan pada 2 Mac,” katanya.

Katanya lagi, SPR memberi jaminan bahawa semua tindakan SPR tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik ataupun kecenderungan fahaman politik. – Bernama

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini