KUALA TERENGGANU – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu mengesan sekurang-kurangnya 30 majikan negeri ini masih lagi tidak mendaftar dengan agensi tersebut.
Pengarah Perkeso Terengganu, Nora Yaacob berkata, senarai majikan yang ingkar mencarum untuk pekerja mereka itu telah dikenalpasti menerusi Ops. Pemutihan yang dilakukan agensinya sepanjang bulan lalu.
“Kesemua majikan itu telah dinasihati agar mendaftar segera dengan Perkeso demi kebajikan pekerja masing-masing.
“Kita tidak akan mengambil pendekatan berhemah lagi selepas ini sebalik akan mengeluarkan kompaun serta-merta antara RM500 hingga RM4,000 kepada mana-mana majikan yang masih berdegil tidak akur dengan amaran tersebut selepas ini,” katanya selepas melancarkan Ops. Kesan Kebangsaan peringkat negeri di Wisma Perkeso Terengganu di sini hari ini.
Operasi bersepadu dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu akan melakukan serbuan di premis majikan dikenalpasti berkenaan di seluruh negeri ini.
Nora berkata, Ops. Kesan Kebangsaan peringkat Terengganu berkenaan akan memberi tumpuan kepada empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu. – K! ONLINE











