KUALA LUMPUR 1 April – Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim akui atlet Indonesia Lalu Mohamad Zohri adalah permata baharu Asia Tenggara ketika ini namun tidak mahu barisan atlet pecut negara gentar dan panik dengan aura yang dimiliki juara remaja dunia itu.
Lalu membuktikan kemampuannya sebagai jaguh pecut 100 meter (m) di hadapan kesemua atlet olahraga negara apabila muncul pemenang acara riben biru itu dalam kejohanan Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia pada Kelmarin di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Juara remaja dunia itu, memenangi 100m di Bukit Jalil dengan catatan 10.20 saat (s) kurang 0.02s daripada catatan peribadi terbaiknya.
Kata Karim, jaguh-jaguh pecut negara masih mempunyai masa untuk mempersiapkan diri mereka sebelum bertemu Lalu dalam kempen Sukan SEA 2019 di Manila pada November ini.
“Bagi saya persaingan untuk merebut gelaran raja pecut dalam Sukan SEA 2019 masih lagi terbuka buat atlet negara malah masih terlalu awal menilai kemampuan mereka.
“Harapan saya buat semua atlet pecut negara ialah jangan mudah lemah semangat dengan cabaran yang diberikan oleh Lalu biarpun kita akui dia adalah yang terpantas ketika ini,” kata Karim.
Ketika ini atlet negara yang diyakini mampu memberikan cabaran kepada Lalu dalam acara 100m ialah pemenang Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan.
Khairul memiliki catatan masa peribadi terbaik 10.18s sama seperti Lalu.
Sewaktu GP Terbuka Malaysia, Khairul tidak mengambil bahagian dalam saingan 100m kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan kaki kanan.- UTUSAN ONLINE











