GOPENG 1 April – Biarpun usaha mencari Mohammad Ashraf Hassan, 29, memasuki hari kesepuluh hari ini, namun keluarga lelaki itu sama sekali tidak patah semangat malah berusaha mencarinya meskipun petunjuk yang diperoleh hanya melalui mimpi.
Abang Mohammad Ashraf, Mohd. Zahiruddin, 35, berkata, mereka sekeluarga tidak kisah dengan apa juga maklumat yang diterima dan berusaha pergi ke lokasi yang dikenal pasti bagi mengesan anak kelima daripada tujuh beradik itu.
Malah katanya, pencarian adiknya itu di Gua Tempurung malam tadi juga adalah kerana mimpi ibu mereka yang ‘melihat’ lelaki terbabit berada di lokasi berkenaan.
“Semalam (malam tadi) kami cari di Gua Tempurung sebab emak mimpi dua hari lalu, emak ada perasan (lihat Acap) di Gua tempurung jadi kita ikhtiar di situ.
“Malah, ada pengamal perubatan Islam pun beritahu dia nampak Acap di situ juga. Bagi pihak keluarga kami akan pergi. Kami tidak kisah apa-apa petanda asalkan kami usaha dan saya sendiri pernah masuk ke kawasan curam dan gaung untuk mencari Acap,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu tular dalam media sosial beberapa video pencarian Mohammad Ashraf di Gua Tempurung selepas Mohd. Zahiruddin memuat naik di laman Facebooknya malam tadi.
Dalam rakaman video berkenaan, ibu mereka, Siti Maznah Khamis, 62, berulang kali memanggil anak lelakinya itu seperti, “Acap mak sini, nampak mak tak? Mak sini, jalan sini, kuat Acap, sini mak kat sini.” – UTUSAN ONLINE











