KUALA LUMPUR 1 Apr. – Bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadi beban utama bagi graduan dalam menghadapi masalah pendapatan tidak setimpal dengan kelulusan.

Naib Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan, Muhammad Dzulkarnain Roslan memberitahu, asas gaji pada hari ini wajar dikaji semula supaya bersesuaian dengan situasi semasa.
“Perkara ini harus dipandang serius kerana banyak graduan terbeban dengan hutang sewaktu pengajian seperti bayaran balik pinjaman PTPTN.
“Gaji sepatutnya bertambah bukannya berkurang kerana hari ini golongan belia merupakan kuasa beli terbesar untuk merancakkan sektor ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia hari ini.
Justeru tambah beliau, kerajaan perlu laksanakan kajian segera bagi menangani masalah serupa bakal dihadapi oleh mahasiswa yang akan tamat pengajian nanti.
“Mereka terpaksa menuntut ilmu ke peringkat yang lebih tinggi bagi meraih peluang pendapatan lebih lumayan dengan matlamat mahu memperbaiki hidup keluarga.
“Kajian gaji siswazah yang rendah harus dipercepatkan agar lambakan graduan yang bakal menghabiskan pelajaran selepas ini tidak terpinggir dan mendapat gaji yang sepatutnya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











