Hafizh berdepan detik sukar - Utusan Malaysia

Hafizh berdepan detik sukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 April – Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah sekali lagi mengharungi detik sukar meskipun mencatat penamat yang lebih baik di Argentina awal pagi tadi berbanding menghuni tangga tercorot di Qatar, tiga minggu lalu.

Biarpun menduduki tangga ke-16 dalam Grand Prix Argentina, ia sebenarnya dibantu lima pelumba yang gagal menamatkan perlumbaan. Hafizh sebelum itu memulakan aksi dari petak ke-21.

Hanya penunggang Aprilia, Andrea Iannone satu-satunya pelumba menamatkan saingan di belakang Hafizh dalam perlumbaan yang dimenangi juara dunia, Marc Marquez.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, Hafizh, 24, tetap gembira kerana ada peningkatan prestasi ditunjukkan kali ini.

“Saya gembira dengan peningkatan dalam perlumbaan semalam! Terima kasih kepada Red Bull KTM Tech3 kerana mereka terus meletakkan kepercayaan terhadap saya.

“Saya amat bermotivasi untuk perlumbaan ini, walaupun menghadapi kesukaran di awal saingan tetapi saya cuba bangkit dan berjaya mengejar kelompok pelumba di depan.

“Malang sekali, selepas 15 pusingan, saya rasa tidak sedap hati dengan tayar belakang, kerana kurangnya cengkaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, bos pasukan Red Bull KTM Tech 3, Herve Poncharal mengakui agak ‘geram’ dengan Hafizh selepas dia mencatat keputusan hambar dalam sesi latihan bebas pertama.

Hafizh mengharungi detik sukar apabila berubah jentera daripada Yamaha M1 tahun lalu kepada KTM RC16.

“Dia menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan tahun lalu pada perlumbaan keduanya dalam MotoGP. Kami sedar dia ada potensi besar.

“Dan semalam dalam latihan bebas pertama merupakan malapetaka.

“Cara dia beraksi seperti kamu (pegawai media MotoGP, Simon Crafar) atau saya sedang menunggang motosikal mengelilingi trek. Saya sangat marah,” kata Poncharal kepada MotoGP.com. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini