Pemimpin keluar kenyataan berbeza akar umbi jadi keliru - Utusan Malaysia

Pemimpin keluar kenyataan berbeza akar umbi jadi keliru

PROF. Madya Dr. Rusdi Omar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Bersama Perikatan Nasional (PN) atau sekadar dengan Muafakat Nasional (MN)?

Persoalan tersebut bermain dalam kalangan akar umbi UMNO yang keliru dengan pendirian sebenar selepas pelbagai kenyataan berbeza keluar daripada mulut sesetengah pemimpin parti itu.

Ada dalam kalangan pemimpin UMNO khususnya Tan Sri Annuar Musa lebih cenderung mengeluarkan kenyataan agar parti itu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas untuk mengukuhkan PN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah pula berpendapat parti itu wajar mengkaji semula kerjasama antara parti itu dengan Bersatu dan Pas dalam pilihan raya umum akan datang kerana tidak berasakan ia membawa sebarang manfaat.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berpandangan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu memainkan peranan dengan membuat ketetapan pendirian sebenar parti itu agar tidak mengundang ‘huru-hara’ dalam kalangan kepemimpinan termasuk akar umbi.

“Ketika ini, kita pun tidak tahu apa sebenarnya pendirian UMNO, hendak bersama PN atau tidak atau hendak menyokong Belanjawan 2021 atau sebaliknya. Ketetapan jelas perlu dibuat agar akar umbi tidak pening kepala.

“Pastikan dalam membuat keputusan itu suara majoriti perlu menjadi keutamaan. Jika Ahmad Zahid terus membisu, ia akan memberi kesan khususnya akar umbi yang terus menanti pendirian sebenar UMNO,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Tambah Rusdi, dalam menghadapi PRU-15, UMNO perlu segera menetapkan pendirian jelas sama ada membentuk gabungan bersama PN atau sebaliknya.

“Kita tidak boleh salahkan Annuar yang membuat kenyataan cenderung kepada PN memandangkan beliau salah seorang menteri yang pastinya perlu mempertahan kerajaan,” katanya.

Kata Rusdi lagi, beberapa pemimpin tertinggi UMNO lain seperti Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilihat tidak banyak memberi kenyataan dalam soal tersebut mungkin kerana mereka tidak mahu melihat perpecahan sesama parti.

“Apabila ramai bercakap dengan pendirian yang berbeza-beza akan mengundang masalah dan lebih banyak kekeliruan,” katanya yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa UUM. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×