PRIHATIN dengan kemiskinan serta kesusahan yang dilalui penduduk Islam di benua Afrika, Imam Muda musim kedua, Imam Muda Ammar berbesar hati untuk mengambil bahagian dalam program kemanusiaan.
Justeru, dia tidak berfikir panjang apabila pihak Pertubuhan Nadi Sihat mempelawanya untuk menjadi ketua penyelaras dan ikon program Kembara Qurban Afrika yang merangkumi negara Chad, Ethiopia, Ivory Coast dan Mali.
Menggunakan kelebihannya selaku Imam Muda yang lahir dari program Islamik anjuran Astro Oasis sudah tentu akan lebih memudahkan selain memastikan kelancaran program tersebut berjalan mengikut jadual.
“Di negara Afrika mungkin ramai yang sedia maklum mereka hidup dalam kedaifan dan serba kekurangan. Hendak makan daging pun payah apatah lagi untuk mendapatkan sumber makanan yang lain.
“Dengan menggunakan platform Imam Muda, saya mahu menguar-uarkan program mulia ini dan di samping kita semua dapat kumpul pahala sesama umat Islam.
“Bila dikenangkan kembali bila tiba Aidiladha, di negara kita sendiri misalnya mudah sahaja untuk dapat daging korban.
“Tetapi berlainan situasinya bila di Afrika. Saya diberitahu ada ramai dalam kalangan mereka yang tidak pernah makan daging seumur hidup.
“Jadi, ini adalah masa yang terbaik untuk memberi sumbangan dengan mengadakan majlis korban agar mereka juga dapat menikmati apa yang kita rasai selama ini.
“Sungguhpun kadar bayaran seekor haiwan di sana lebih murah berbanding di Malaysia, tetapi rata-rata rakyat mereka tidak berkemampuan, Apatah lagi untuk mengadakan sebuah acara korban pada Aidiladha,” kongsinya.
Sebagai ketua penyelaras program, Imam Muda Amar atau nama sebenarnya Ammar Wan Harun akan memberi bimbingan serta tunjuk ajar sepanjang pelaksanaan program ini berlangsung di sana.
“Hukum ibadah korban kalau ikut Mazhab Syafie ialah sunat muakkad dan makruh jika tak dilaksanakan bagi mereka yang berkemampuan.
“Hukum ‘pindah korban’ juga diharuskan ke negara yang diduduki oleh ramai orang tetapi berada dalam kedaifan.
“Kesimpulannya, ia harus dan sah dari hukum syarak mewakilkan orang lain ke luar negara bagi menyempurnakan ibadah korban seperti yang dihajati di tanah air,” ungkapnya.
Kerja kemanusiaan
Sementara itu Pertubuhan Nadi Sihat yang selama ini memfokus kepada gaya hidup sihat tidak mahu ketinggalan membuat kerja-kerja amal dengan anjuran sebuah program kemanusiaan menerusi Kembara Qurban Afrika 2019.
Mereka menyasarkan lebih 1,000 ekor lembu akan diagihkan kepada 5,000 keluarga di empat buah negara terpilih iaitu Mali, Chad, Ethiopia dan Ivory Coast pada Ogos hadapan.
Berkongsi lanjut tentang matlamat serta keutamaan pihak mereka mengadakan ibadah korban di sana sempena sambutan Aidiladha nanti, Presidennya, Azlina Abdul Aziz memberitahu terpanggil untuk berbuat demikian setelah mendengar perkongsian rakan-rakan yang pernah ke sana pada tahun lepas.
Kata Azlina, oleh kerana ramai yang mengadakan acara korban di negara lain seperti di Vietnam, Kemboja dan negara ASEAN lain, Nadi Sihat memilih negara-negara di benua Afrika kerana kemiskinan dan hidup mereka yang daif.
“Keadaan di sana amat menyedihkan dan kebanyakan daripada umat Islam di Afrika hidup di bawah paras kemiskinan.
“Justeru, Pertubuhan Nadi Sihat sepakat untuk memilih empat buah negara di Afrika untuk diberi bantuan terutama pengagihan daging korban.
“Matlamat kami adalah hendak menzahirkan perasaan ukhuwah Islamiah dan kemanusiaan merentasi negara tanpa mengira bangsa dan warna kulit,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar program tersebut.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fahisha Irwan Mustafa.
Menurut Azlina, kadar bayaran bagi melaksanakan ibadah korban juga amat berpatutan sekali gus dapat membantu umat Islam yang berhajat untuk melakukannya dengan mudah.
Harga haiwan ternakan seperti lembu dan kambing adalah jauh lebih murah berbanding di negara ini menjadikan semakin ramai yang berminat melakukan kurban di sana.
“Selain dapat membantu mengagihkan daging korban kepada penduduk di sana, kita juga ketahui bahawa haiwan di sana sendiri amat murah dan banyak bekalan yang boleh kita dapati dengan mudah.
“Kadar bayaran untuk satu bahagian lembu ialah RM350 selain kambing berharga RM800 seekor dan unta RM500 bagi satu bahagian.
“Setiap peserta yang mengambil bahagian akan diberi sijil pengesahan penyertaan selepas tamat program yang kami laksanakan,” jelasnya dengan lebih terperinci.
Tambahnya, dengan harga yang murah itu diharapkan mereka mampu menyediakan jumlah yang mencukup bagi keperluan keluarga di empat buah negara tersebut.
Apa yang penting bagi Pertubuhan Nadi Sihat ialah misi kemanusiaan yang berterusan dilaksanakan sejak beberapa tahun yang lalu termasuk memberi sumbangan ke masjid-masjid di Nepal, selain membantu golongan kurang berkemampuan di negara sendiri.
Tarikh tutup penyertaan ialah pada Julai ini dan bagi mereka yang berminat boleh hubungi talian 014-2345993 atau 03-42653012 untuk sebarang maklumat lanjut.











