PUTRAJAYA – Sebanyak 121 buah projek infrastruktur bernilai RM13.9 juta di seluruh negara yang ditawarkan secara rundingan terus dan tender terhad oleh kerajaan terdahulu akan diteruskan selepas rundingan semula harga oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kesemua projek itu diteruskan dengan penjimatan kos sebanyak RM805.99 juta.
Tegasnya, 121 buah projek infrastruktur tersebut tidak termasuk projek mega seperti projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dan Transit Aliran Deras 2 (MRT2).
“LRT3 dengan kos sebanyak RM31.65 bilion dan MRT2 dengan kos sebanyak RM39.35 bilion masing-masing dikurangkan harga kepada RM16.63 bilion dan RM30.53 bilion.
“Ini telah secara sekali gus menjimatkan kos keseluruhan sebanyak RM23.84 bilion untuk kedua-dua projek ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, perjanjian tambahan kepada 121 projek tender terhad dan rundingan terus yang telah dikeluarkan Surat Setuju Terma (SST) akan dimuktamadkan selewat-lewatnya hujung bulan ini setelah harga dirunding semula.
Jelasnya, ini sebagai usaha rasionalisasi kos projek tersebut sekali gus mengurangkan tekanan kepada kedudukan fiskal kerajaan.
“Kini semua perkara terperinci akan diuruskan oleh kementerian masing-masing yang mengendalikan projek tersebut dan tidak membabitkan Kementerian Kewangan lagi,” katanya.
Sementara itu, Guan Eng berkata dengan mengambil kira perkembangan semasa ini, Kementerian Kewangan yakin bahawa pelaksanaan perolehan kerajaan secara tender terbuka pada masa akan datang akan memberi penjimatan kos dan nilai faedah terbaik kepada kerajaan serta rakyat.
“Kaedah lama pemberian kontrak dikekalkan, perbezaannya hanya tender terbuka dijalankan untuk menggantikan penganugerahan secara rundingan terus atau tender terhad melainkan ada faktor-faktor kecemasan, kepakaran tertentu yang diperlukan ataupun sebab-sebab khas,” katanya. – K! ONLINE











