LONDON 31 Mac – Ole Gunnar Solskjaer bercadang meletakkan Paul Pogba di bagian tengah lebih bawah untuk membantu Manchester United mengawal permainan dengan lebih baik selepas menyaksikan pasukannya terpaksa bergelut sebelum menang 2-1 ke atas Watford.
United beraksi buat kali pertama di bawah kendalian Solskjaer selaku pengurus tetap mereka dengan meraih kemenangan tipis ke atas Hornets menerusi jaringan Marcus Rashford dan Anthony Martial.
Pogba menjadi antara pemain paling menyerlah di Old Trafford sejak Solskjaer mengambil alih tugasan itu daripada Jose Mourinho, Disember lalu tetapi kelibat bintang Perancis itu seperti tidak wujud dalam perlawanan yang dikuasai hampir sepenuhnya oleh Watford dan ia memaksa Chris Smalling dan Phil Jones untuk bekerja keras di bahagian pertahanan.
Mourinho sering dikritik sebelum ini kerana tidak memberikan peluang kepada Pogba melakukan serangan dari bahagian tengah tetapi Solskjaer memberi bayangan bahawa Pogba akan diletakkan ke posisi berbeza untuk membolehkannya mendapat bola lebih kerap.
“Kami bermula dengan sangat teruk. Kami juga berdepan masalah kecederaan dan ini adalah perlawanan pertama selepas waktu rehat antarabangsa.
“Watord bermain dengan baik, pemain mereka tidak banyak terlibat dengan pasukan kebangsaan dan mereka layak untuk menguasai perlawanan.
“Pada separuh masa pertama kami banyak lakukan serangan balas sahaja, kami bertahan dengan baik dan Chris bersama Jones bermain dengan baik di bahagian pertahanan.
“Paul sangat penting untuk kami. Kami tidak boleh mengawal bola dan perkara ini sangat mengecewakan.
“Paul bermain dua perlawanan untuk Perancis dan dia bermain di posisi lebih bawah. Dia boleh menyerang dan bertahan,” kata Solskjaer.-AGENSI











