Ikat perut! Itulah simpulan bahasa yang menjadi bualan hangat rakyat Malaysia beberapa hari ini. Mana tidaknya, simpulan bahasa itu dijadikan saranan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada seluruh rakyat dan penjawat awam dalam usaha mengurangkan hutang negara yang mencapai angka melebihi RM1 trilion, yang didakwa diwarisi daripada kerajaan terdahulu. Saranan itu dilontarkan ketika beliau berucap dalam majlis Perhimpunan Perdana Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Bersama Perdana Menteri di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia.
Formulanya mudah, kata Perdana Menteri, jika rakyat dan penjawat awam ikat perut, kerajaan akan berupaya menyelesaikan hutang negara yang terbeban itu sekali gus pendapatan negara juga akan dapat dipertingkatkan. Dengan itu, penjawat awam akan menikmati manfaatnya juga tatkala masanya tiba kelak.
Jika diperhalusi sebaiknya, ia membawa satu signal kepada penjawat awam untuk bersabar dan menangguhkan hasrat buat seketika untuk memikirkan soal kenaikan gaji dan faedah-faedah lain. Sekiranya semua penjawat awam dapat bersabar, kerajaan pula boleh menumpukan usaha untuk mengurangkan hutang yang ditanggung negara ketika ini.
Dalam masa sama, kerajaan turut memuji sikap yang ditunjukkan oleh kepemimpinan CUEPACS yang sentiasa bekerjasama dengan kerajaan dalam menangani pelbagai permasalahan yang melibatkan penjawat awam di negara ini. Namun, ada juga suara-suara kemarahan dan tidak puas hati yang menuduh CUEPACS terlalu berlembut terhadap kerajaan dan menjadi `pak turut’ pula sehinggakan mengabaikan tanggungjawab sebenar sebagai sebuah persatuan yang mempertahankan hak-hak penjawat awam.
Memang, dalam suasana ekonomi yang tidak menentu ini, harus difikirkan bahawa perundingan masih menjadi pilihan terbaik CUEPACS kerana jika mereka mendesak kerajaan untuk mendengar permintaan mereka, adakah ia mampu untuk menyelesaikan masalah kewangan negara keseluruhannya? Dengan kata lain keadaan ekonomi akan menjadi lebih teruk yang mana kerajaan terpaksa menampung kos pemulihan kerosakan harta benda awam, kehilangan pelaburan langsung asing dan sebagainya.
Sememangnya usaha untuk membangunkan semula negara memerlukan kerjasama antara kerajaan dan rakyat. Untuk tujuan itu, kerajaan disarankan untuk merasionalkan rakyat dengan hujah-hujah yang tepat berlandaskan fakta-fakta yang kukuh bagi menaikkan semula semangat penjawat awam untuk terus bersama kerajaan dalam mengurangkan hutang negara.
Meminta rakyat mengikat perut, tentu mereka mahu lihat apa fakta-faktanya yang memerlukan mereka berbuat begitu. Hal ini berkait rapat dengan Diffusion Theory yang mana kerajaan perlu menyebarkan maklumat secukupnya mengenai strategi yang mereka telah rangka ke arah mengurangkan hutang negara.
Pada masa sama, rakyat juga perlu didedahkan dengan fakta-fakta bagaimana penjimatan yang dibuat oleh penjawat awam itu sendiri mampu untuk mengurangkan hutang negara dan seterusnya penjawat awam akan mendapat spill over effect daripadanya.
Maklumat-maklumat yang disebutkan ini perlu disampaikan kepada rakyat dengan pelbagai cara seperti info grafik dalam media sosial, surat khabar, penerangan oleh kakitangan kerajaan termasuklah oleh Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dan Pegawai Daerah. Apabila rakyat betul-betul memahami usaha yang sedang dan akan dilakukan oleh kerajaan ini benar-benar memberi manfaat kepada semua, mereka boleh bersama kerajaan ke arah mengurangkan hutang negara.
Dalam pada itu, penjawat awam pula perlu sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik walaupun ada di antaranya yang terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi dengan gaji yang kecil. Namun, sekiranya penjawat awam terus memberikan perkhidmatan yang terbaik, ini dapat membantu dan mempermudahkan sektor swasta dalam urusan pembangunan negara. Ini terbukti apabila Dasar Pensyarikatan diperkenalkan oleh Dr. Mahathir pada 1983.
Terdapat dua sektor utama yang akan menentukan maju dan mundurnya negara ini, iaitu sektor swasta dan sektor awam. Kedua-dua sektor ini seharusnya boleh bekerjasama dalam semua bidang untuk mencapai dan meningkatkan pembangunan dan imej negara ke tahap yang lebih baik. Sektor swasta adalah menjadi pendukung kepada aktiviti perdagangan dan ekonomi, manakala sektor awam akan menyediakan dasar-dasar utama dan menentukan arah serta menyediakan perkhidmatan sokongan tertentu kepada pihak swasta.
Jadi, sekiranya penjawat awam (di sektor awam) dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada sektor swasta, maka, ekonomi negara akan berkembang dengan baik dan sekali gus penjawat awam akan merasai faedah-faedah seperti kenaikan gaji, bonus dan sebagainya.
Selain itu, ada juga yang berpendapat kerajaan perlu mengurangkan atau menunda terlebih dahulu projek-projek mega untuk memastikan penumpuan terhadap kelangsaian hutang negara dapat dilakukan.
Projek-projek mega ini sudah pasti akan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara. Namun, kerajaan perlu betul-betul membuat keutamaan (prioritization) terhadap projek-projek yang boleh dilaksanakan tatkala ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
Sekiranya dulu rakyat Malaysia bersama-sama dengan kerajaan berjaya membawa negara keluar daripada krisis kewangan 1997/1998, tidak mustahil perkara yang sama mampu dicapai pada kali ini.
Buat sektor swasta, pendekatan efisien perlu dititikberatkan agar objektif yang dirangka tercapai dengan melibatkan kos minimum. Apa pun, semuanya bermula daripada pihak atasan. Jangan jadi seperti kata pepatah, guru kencing berdiri, murid kencing berlari.
PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub.










