PEMENANG pingat emas Sukan Asia 2014 Incheon, Faizal Norizan meluangkan masa mengajar tentang sukan pelayaran kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika di Pulau Langkawi.
Faizal menyifatkan ia sebagai satu penghormatan dapat belayar bersama Syed Saddiq, baru-baru ini.
“Adalah satu penghormatan dapat meluangkan masa pada petang ini belayar bersama Menteri Belia dan Sukan, YB (Yang Berhormat) Syed Saddiq.
“Usaha YB mengubah belia untuk negara yang lebih baik cukup berinspirasi.
“Terima kasih kerana datang melawat dan saya harap anda menikmati pelayaran. Semoga belia ke arah lebih baik dan mengamalkan gaya hidup sihat,” tulis Faizal dalam Instagram miliknya, faizalnorizan dan mengakhiri kapsyen dengan tanda pagar #youthpower #goforgold #jenterapejuang.
Faizal dan gandingannya, Ahmad Syukri Abdul Aziz meraih emas Sukan Asia pada 2014 menerusi acara 420 lelaki dalam sukan pelayaran pada Sukan Asia, lima tahun lalu.
Sementara itu, Syed Saddiq turut berkongsi keterujaannya merasai dan mendalami sukan pelayaran menerusi bimbingan Faizal.
“Belajar perkara baharu bersama atlet kebangsaan, saudara Faizal,” tulisnya dalam Instagram Syedsaddiq dan mengakhiri kapsyen dengan tanda pagar #YouthPower.











