SHAH ALAM – Kerjasama dengan kerajaan negeri dalam pelarasan kadar baharu tarif air harus wujud sebagai usaha untuk memastikan bekalan berkenaan akan sentiasa mencukupi pada masa depan.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, pada masa ini, kadar baharu tersebut masih lagi dalam proses perbincangan dengan kerajaan-kerajaan negeri terlibat dan dijangka dapat ditetapkan dengan persetujuan semua pihak menjelang hujung tahun ini.
Jelas beliau, kerajaan turut memberi jaminan bahawa tarif air baharu berkenaan tidak akan membebankan rakyat sebaliknya ia bagi mengelakkan semua lapisan masyarakat terus terkesan dengan sebarang gangguan bekalan pada masa depan.
“Industri air kena (maju) ke depan. Ada perbelanjaan besar kita perlu buat sebagai jaminan masa depan yang rakyat tidak akan mengalami lagi gangguan bekalan air. Kerajaan memang bersedia untuk berbelanja bagi memastikan bekalan air akan sentiasa keluar daripada paip 24 jam sehari selama 365 hari.
“Sebab itu kementerian ada kemukakan cadangan kepada kerajaan-kerajaan negeri iaitu dengan cara perbelanjaan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dan yang kita rancang dalam RMK12 juga,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Champions League – Commercialize Your Product anjuran Persatuan Sains Teknologi dan Inovasi (ASTI) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari pada Isnin lepas yang menyifatkan cadangan pelarasan kadar baharu tarif air oleh kementerian itu terlalu tinggi iaitu meningkat hampir 50 peratus berbanding kadar biasa.
Ditanya mengenai wujudnya tentangan daripada kerajaan-kerajaan negeri dengan cadangan pelarasan kadar baharu tersebut, Xavier berkata, ia merupakan perkara biasa namun beliau mengingatkan semua pihak bahawa tarif air tidak dinaikkan sejak 20 tahun lepas.
“Tetapi perbelanjaan kita sekarang ialah mengikut nilai pasaran. Kita membayar kos infrastruktur seperti yang dinyatakan oleh pasaran. Ia akan menyebabkan berlakunya banyak wang untuk dibelanja tetapi kita bersedia untuk melakukannya.
“Tetapi kita perlu memastikan kerajaan negeri memahami bahawa jika kita membelanjakan wang dalam industri air, kita mahu memastikan tiada lagi gangguan bekalan air pada masa depan,” katanya. – Bernama











