KEMAMAN 30 Mac – Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyantuni 10 keluarga orang kena pengawasan (OKP) di sekitar Kertih dan Kemasik, di sini baru-baru ini.
ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili berkata, inisiatif di bawah Program Ziarah Kasih itu bertujuan mendekati OKP sebagai tanda sokongan kepada mereka yang kini dalam proses pemulihan.
Katanya, kerajaan negeri dan AADK komited melakukan pelbagai usaha untuk membantu memulihkan sepenuhnya bekas penagih dadah termasuk bakal menubuhkan pusat pemulihan secara holistik berasaskan kaedah rawatan Islam, kerohanian dan psikospritual dalam masa terdekat seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
“Masalah penagihan dadah sukar ditangani kerana kalangan penagih seolah-olah tidak insaf namun, bukan semua daripada mereka bersikap demikian bahkan, ada yang telah berusaha keras untuk pulih tetapi masih gagal.
“Kerajaan negeri telah memberi mandat kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menyediakan modul khusus membabitkan kerjasama dengan AADK bagi penubuhan pusat pemulihan itu,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Kemaman, Lokman Hakim Othman berkata, menerusi Program Ziarah Kasih itu OKP tidak lagi merasa terpinggir sekali gus membolehkan mereka diterima masyarakat bagi tujuan bantuan dan sokongan.
“OKP bukan sahaja berdepan isu penagihan bahkan perlu menghadapi pelbagai masalah lain termasuk kesihatan dan kemiskinan yang sekali gus menyekat proses pemulihan sepenuhnya.
“Apabila OKP hadir ke pejabat AADK untuk sesi kaunseling mereka banyak mengutarakan masalah kewangan dan tidak mempunyai pekerjaan,” katanya.
Katanya, di Kemaman terdapat seramai 764 OKP direkodkan manakala di Kemasik pula 122 orang. – UTUSAN ONLINE











