KANGAR 30 Mac – Polis memperhebatkan usaha memburu suspek yang disyaki terlibat membakar kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin minggu lalu, dan percaya mereka akan diberkas dalam tempoh terdekat.
Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd. berkata, pihaknya yakin suspek yang dipercayai bersembunyi di sekitar Perlis dan Kedah itu akan dapat dikesan memandangkan identiti mereka juga sudah dikenal pasti.
“Di mana sahaja mereka bersembunyi, kita akan buru sehingga dapat. Kita percaya mereka bersembunyi dari satu kawasan ke kawasan lain bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa.
“Apa yang pasti, suspek masih berada di dalam negara. Jika mereka lari ke negara jiran, lagi mudah untuk kita kesan suspek terbabit,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Pada 22 Mac lalu, kereta rasmi Mohd. Asri musnah dibakar oleh dua lelaki yang dikesan bertindak demikian melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik jiran Mohd. Asri itu di Jalan Persiaran Wawasan di sini.
Mohd. Asri menyifatkan mereka yang terlibat membakar kereta rasminya itu sebagai perbuatan pengganas.
Sementara itu, Noor Mushar berharap semua pihak dapat bersabar dan polis akan melakukan yang terbaik dalam usaha menangkap suspek. – UTUSAN ONLINE











