Sukar tapi berbaloi - Utusan Malaysia

Sukar tapi berbaloi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA akui bukan mudah untuk menggabungkan tiga tona suara yang berbeza tetapi itulah keistimewaan kami,” kata Noryn Aziz bercerita mengenai kegusaran banyak pihak terhadap gandingannya dalam Konsert Soul Sisters minggu hadapan.

Ya, bukan mudah sebenarnya untuk menyatukan tiga penyanyi yang mempunyai kelainan di dalam satu konsert. Bagi Siti Sarah dan Misha Omar mereka sudah biasa dengan lagu balada namun tidak bagi wanita yang satu ini.

Mempunyai kekuatan vokal berskala tinggi dek sering menyanyikan lagu-lagu jazz dan RnB, ini cabaran besar untuk Noryn ‘bercampur’ dengan kedua-dua mereka seterusnya meninggalkan impak yang besar kepada peminat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada awalnya memang bukan mudah untuk saya mencari persefahaman bagaimana untuk mengharmonikan suara kami bersama. Tak ada masalah pun asalkan masing-masing faham peranan sendiri.

“Bila sudah berlatih bersama sejak dua minggu lalu, sudah ada keserasian daripada segi tona suara dan sebagainya. Jadi saya positif yang kami bertiga mampu memberikan yang terbaik nanti,” tambahnya.

Walaupun berlainan tona suara, Noryn mendedahkan yang mereka tidak menghadapi banyak masalah memandangkan mendapat bantuan daripada Datuk Syafinaz Selamat selaku Pengarah Vokal.

Apa yang paling penting keharmonian bernyanyi selain menjaga tempo, melodi dan ritma agar sesebuah lagu itu dapat memberikan kesan kepada semua.

“Semua penyanyi mempunyai kekuatan vokal tersendiri dan agak sukar untuk mengubah stail nyanyian dan sebagainya. Tapi keserasian dan harmoni itu yang akan menentukan gabungan kami bertiga.

“Untungnya Syafinaz memantau dan memberi banyak input sepanjang latihan. Ini juga berbalik kepada soal kerja berpasukan dan kami yakin dapat melakukannya,” tambahnya.

Konsert Soul Sisters yang dianjurkan oleh Edd Razhe Entertaiment Sdn. Bhd. itu bakal diadakan pada 5 dan 6 April hadapan di Istana Budaya.

Cabaran

BAKAL menyanyikan tiga buah lagu solo pada malam berkenaan, Noryn mendedahkan yang kebanyakan lagu lain akan dinyanyikan bersama-sama dengan Sarah dan Misha sepanjang konsert berlangsung.

Paling menarik apabila mereka bakal mendendangkan lebih 33 buah lagu lain yang dibahagikan kepada beberapa segmen termasuklah dinyanyikan secara medley, mash up dan sebagainya.

“Paling memberikan cabaran apabila ada antara lagu-lagu yang dipilih cukup asing bagi saya dan mereka menukar susunan muzik agar bersesuaian dengan skala konsert.

“Memang sukar tapi inilah cabaran. Sebagai penyanyi profesional tiada apa yang perlu ditakutkan. Dengan latihan yang cukup, semuanya akan baik-baik sahaja,” katanya.

Mendapat sentuhan Datuk Nasser Abu Kasim sebagai Pengarah Muzik, antara lagu yang bakal dinyanyikan termasuklah Lady Marmalade, Listen, Bang Bang, Mulanya Di Sini dan Khayalan.

Mereka juga akan memberikan penghormatan kepada kumpulan Feminin yang pernah popular sekitar tahun 1990-an selain menyanyikan lagu popular dendangan Siti Fairuz, Famiza, Freedom dan Anita Sarawak dalam segmen tribute.

Bagi mereka yang ingin turut serta, tiket-tiket dijual dengan harga RM155, RM255, RM355, RM555 dan RM755. Layari www.airasiaredtix.com untuk pembelian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini