KUBANG PASU 30 Mac – Kerajaan tidak menolak kemungkinan meningkatkan jumlah pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk bujang golongan berpendapatan rendah (B40) daripada RM100 kepada nilai yang lebih tinggi selepas ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, perkara itu bakal dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang sebelum keputusan mengenainya dibuat.
“Kerajaan bersedia mempertimbangkan kenaikan bayaran itu, namun keputusan mengenainya akan dimuktamadkan pada mesyuarat Kabinet.
“Kita mengambil perhatian dan mendengar keluhan golongan bujang ini termasuk mereka yang berada di institusi pengajian tinggi (IPT). Atas sebab itu, perkara ini akan dibentangkan kepada Kabinet untuk membuat keputusan (mengenai kenaikan bayaran).
“Kita akan melihat kepada keperluan mereka dan ia sedang dipertimbangkan namun kena tunggu keputusan Kabinet,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Jom Sambung Belajar di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jitra, di sini hari ini.
Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan akan membuat bayaran RM100 kepada setiap individu yang terdaftar di bawah kategori bujang dalam pangkalan data BSH 2018 pada hujang Mac ini.
Menterinya, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, bayaran itu akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank penerima dan bantuan berkenaan memberi manfaat kepada lebih tiga juta individu dengan peruntukan sebanyak RM300 juta.
Untuk rekod, kerajaan dahulu telah memberikan bantuan kepada golongan bujang sebanyak RM450 dan jumlah itu akan ditambah kepada RM650 jika Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sementara itu, Amiruddin berkata, sekiranya Kabinet meluluskan untuk meningkatkan jumlah bayaran BSH kepada golongan bujang, pendaftaran akan dibuka dengan mereka yang memenuhi syarat layak menerima agihan itu. – UTUSAN ONLINE











