JOHOR BAHRU 30 Mac – Kerajaan negeri menyokong saranan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa negara ini memerlukan sekurang-kurangnya tiga atau empat jambatan yang menghubungkannya dengan Singapura bagi mengurangkan kesesakan trafik antara kedua-dua negara.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, namun perkara tersebut memerlukan persetujuan daripada pihak Singapura.
“Memang perlu (jambatan baharu), saya rasa kerajaan Malaysia tiada masalah dalam perkara ini, soalnya adalah kerajaan Singapura.
“Ini disebabkan isu ini melibatkan dua pihak. Fokus utama buat waktu ini adalah untuk menyelesaikan masalah trafik antara kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Kembara Sihat 2019 anjuran Kementerian Kesihatan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Kempas, di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE











