KUALA LUMPUR 30 Mac – Polis sedang mengesan pemandu BMW berwarna putih yang terlibat dalam kejadian langgar lari sehingga menyebabkan seorang penghantar surat khabar maut, di Kuching, Sarawak semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, hasil semakan dijalankan mendapati kereta berkenaan didaftarkan atas nama sebuah syarikat.
Menurut beliau, bagaimanapun, pihaknya telah menghantar pegawai penyiasat pergi ke syarikat berkenaan namun didapati sudah tidak lagi beroperasi.
“Setakat ini tiada sesiapa yang datang menuntut kereta berkenaan dan masih belum ada yang tampil mengaku memandu kereta itu ketika kejadian.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Alexson, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian atau pemandu kereta terbabit diminta menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan.
Dalam kejadian pada pukul 6.15 pagi semalam, seorang penghantar surat khabar, Chong Kui Hin, 67, maut dalam kejadian langgar lari di Jalan Tun Jugah, Kuching, Sarawak.
Mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C100 dikatakan dalam perjalanan menghala ke Kuching Sentral sebelum dirempuh kereta BMW itu dari belakang sehingga mangsa tercampak ke bahu jalan.
Pemandu kereta berkenaan bertindak melarikan diri namun meninggalkan kenderaan itu di tepi Jalan Airport, berhampiran Kuching Sentral.
Kui Hin maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala kereta BMW yang kemek di bahagian depan itu ditunda ke Balai Trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk tindakan lanjut.-UTUSAN ONLINE











