Modul Akademi Imigresen Malaysia akan dinaik taraf - Utusan Malaysia

Modul Akademi Imigresen Malaysia akan dinaik taraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 30 Mac- Jabatan Imigresen akan memartabatkan Akademi Imigresen Malaysia dengan menaik taraf pelbagai modul latihan serta kursus berkepakaran tinggi seperti pemeriksaan dokumen yang diperakui dan teknologi forensik.

Khairul Dzaimee Daud

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya secara konsisten berusaha untuk memperkasakan modal insan supaya semua pegawai dan kakitangan jabatan itu lebih kompeten dan serba boleh dalam pelbagai aspek.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, pegawai imigresen perlu bersedia memberikan mutu penyampaian perkhidmatan terbaik dan memenuhi ekspektasi rakyat seperti urusan di kaunter, permohonan dokumentasi perjalanan dan pemeriksaan keluar masuk negara.

“Semua modul latihan ketika ini meliputi aspek akademik, perundangan, disiplin dan pemantapan rohani bagi meningkatkan ketahanan diri, fizikal dan mental bagi melahirkan seorang pegawai yang berintegriti tinggi, profesional dan mesra dalam menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu katanya, beliau pada hari ini juga telah merasmikan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai Imigresen Gred KP19 di Akademi Imigresen Malaysia di Port Dickson, Negeri Sembilan yang melibatkan sebanyak 219 peserta.

“Sebanyak 154 orang peserta lelaki dan 65 orang peserta wanita berjaya menamatkan kursus dan akan memulakan tugas pada 1 April ini. Latihan Kursus Asas Pegawai Imigresen Gred KP19 Siri 1 Tahun 2019 dilaksana sepenuhnya di Akademi Imigresen Malaysia bermula 11 Februari lalu.

“Semua peserta telah didedahkan dengan latihan yang merangkumi modul-modul yang dirangka berhubung bidang teras tugas jabatan yang meliputi Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka juga didedahkan mengenai undang-undang pasport dan keselamatan, kawalan pintu masuk, visa dan pas, permit masuk, pekerja asing dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan seperti kanun prosedur jenayah serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kesiapsiagaan pegawai dalam menjalankan tugas amat penting kerana mereka bakal berhadapan dengan cabaran dalam menguruskan warga asing dan sepanjang tahun lalu sahaja, pihaknya telah menguruskan sebanyak 164,884,954 pergerakan pelawat di semua pintu masuk dan keluar negara.

“Selain itu, pegawai imigresen juga perlu menguruskan hal ehwal warga asing yang berada di dalam negara seperti pelancong, pekerja asing, pelajar dan pendatang asing tanpa izin (PATI),” – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini