KUALA LUMPUR 30 Mac – Seorang pelayan restoran sebuah kelab golf di Petaling Jaya maut manakala tiga rakan sekerjanya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas lalu melanggar tembok di bawah Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Glenmarie, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, kejadian pada kira-kira pukul 5.20 pagi itu berlaku apabila kereta Perodua Viva dinaiki mereka gagal dikawal lalu terbabas ke kiri jalan melanggar tembok stesen LRT.
“Akibat perlanggaran itu, Norman Mansiu, 31, yang memandu kereta tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala tiga rakannya dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan.
“Penumpang kenderaan, Mohd. Zamarul Hisyam Sabran, 21, dirawat di zon merah kerana mengalami pendarahan dalam badan sementara Burhanuddin Al-Helmy Awang Ali, 18, dan Zulkifli Abdullah, 38, dirawat di zon kuning berikutan kecederaan di kaki,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Zani memaklumkan, pegawai penyiasat telah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Orang awam yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd. Nazreen Nasharudin di talian 010-2105101 bagi membantu siasatan. – UTUSAN ONLINE











