KUANTAN – Remaja lembam yang dilaporkan hilang sejak Selasa lepas, selepas masuk ke dalam hutan di Kampung Lengkong di Karak, Bentong dekat sini kerana merajuk telah kembali ke rumah.
Kepulangan Muhammad Haikal Ahmad, 17, disahkan oleh bapanya Ahmad Mat Ali, 50, yang mendapati anaknya sudah berada di rumah mereka di Kampung Paya Pelantar di Karak, semasa pulang daripada berniaga pagi tadi.
“Saya mendapati bilik anak berkunci dan apabila pintu dapat dibuka, Muhammad Haikal didapati sedang tidur. Mungkin dia pulang tengah malam atau awal pagi tadi namun tidak disedari.
“Bagaimanapun dia masih tidak mahu bercakap… mungkin masih lagi merajuk. Apa pun, Alhamdulillah anak telah selamat pulang ke rumah,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.
Ahmad berkata, keadaan anaknya tidak cedera namun agak lemah dan pegawai perubatan juga telah datang ke rumah untuk memeriksa keadaan anak bongsu daripada dua beradik itu yang juga pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) bagi masalah pembelajaran. – Bernama











