3 amah Tan Sri larikan diri dipercayai didera - Utusan Malaysia

3 amah Tan Sri larikan diri dipercayai didera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Mac – Tiga wanita Indonesia nekad melarikan diri dari rumah majikan mereka yang bergelar Tan Sri di Country Heights, Kajang dekat sini dipercayai selepas tidak tahan didera.

Dalam kejadian Jumaat lalu, ketiga-tiga mangsa yang mendakwa tidak dibayar gaji, ditumbuk dan ditampar melarikan diri dengan memanjat pagar rumah majikan dan kemudian dibantu oleh seorang lelaki tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, lelaki itu kemudiannya telah membawa ketiga-tiga mangsa ke Kedutaan Indonesia bagi mendapatkan bantuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ujarnya, satu laporan polis telah dibuat oleh pihak kedutaan Indonesia di Balai Polis Tun HS Lee di sini berhubung dakwaan ketiga-tiga mangsa.

“Hasil siasatan awal mendapati, ketiga-tiga mangsa yang masing-masing telah bekerja di rumah Tan Sri itu kira-kira tujuh tahun, empat tahun dan enam bulan telah diperlakukan dengan kasar.

“Gaji mereka juga tidak dibayar selama bekerja di situ selain tidak dibenarkan pulang ke Indonesia kerana pasport mereka disimpan oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Dzaffir memberitahu, pihaknya telah melakukan pemeriksaan di rumah Tan Sri tersebut sebelum merampas dua pasport dan i-Card mangsa yang disimpan oleh setiausahanya.

Jelasnya, ketiga-tiga mangsa juga telah dihantar ke Klinik Kesihatan Kajang dekat sini dan hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga mereka tiada kecederaan fizikal, mental dan seksual.

“Mereka kemudiannya telah dihantar ke rumah perlindungan setelah perintah perlindungan interim (IPO) diperoleh dari Majistret Kajang.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini