BACHOK – Jurutera yang maut bersama empat anggota keluarganya dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Kampung Jeram Besu di sini, awal pagi semalam baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan pertama.
Lebih memilukan, Muhammad Faezuan Nor Izuddin, 27, juga baru bergelar bapa setelah dikurniakan seorang cahaya mata berusia 62 hari.
Nor Asilah Arahim, 29, berkata, beliau dan suaminya baru sahaja menyambut hari ulang tahun perkahwinan pertama pada 23 Mac lepas dan mereka dikurniakan anak perempuan, Maryam Medina.
Beliau berkata, suaminya dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menghadiri majlis akad nikah adik perempuannya di Kampung Jelawat, Bachok, Kelantan.
“Lima jam selepas saya menerima mesej menerusi Whatsapp pukul satu pagi daripada Allahyarham, saya dikejutkan dengan kehadiran anggota polis yang memaklumkan suami saya meninggal dalam kemalangan jalan raya,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Jelawat di sini awal pagi tadi.
Muhammad Faezuan, jurutera di sebuah kilang di Pelabuhan Klang, antara lima yang terkorban apabila kereta yang dinaiki bersama keluarganya dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu bertembung dengan sebuah bas ekspres yang datang secara bertentangan, awal pagi semalam. – Bernama











