KUALA LUMPUR, 28 Mac – Bakat besar sukan permotoran empat roda Weiron Tan menambah cabaran dalam kariernya apabila diumumkan sebagai salah seorang daripada empat pemandu di pentas Asia untuk Audi Sport bagi kempen 2019.
Ia secara tidak langsung akan menyaksikan Weiron seorang pesaing dalam pelbagai platform perlumbaan termasuk single-seater, endurance dan GT, serta menggalas cabaran di atas nama Audi Sport disamping beberapa pemandu ternama yang lain bagi musim ini.
Selain Weiron, Audi Sport mengesahkan, mereka membariskan pemandu hebat dari China, Cheng Congfu, Martin Rump (Estonia) dan juga bakat sedang menyinar, David Chen (China) bagi mengharungi musim 2019.
Pelumba profesional negara itu diberi kepercayaan untuk mengemudi cabaran bersama Rump dan Congfu untuk menyertai kejuaraan Piala Audi Sport R8 LMS untuk musim ini.
Bagi Weiron, tanggungjawab yang diberikan ini adalah satu penghargaan besar buat dirinya.
“Saya sangat teruja untuk menjadi pemandu rasmi Audi Sport Asia!. Ia satu mimpi yang menjadi kenyataan buat saya untuk memandu bagi sebuah syarikat pengeluar terutamanya Audi kerana mereka sentiasa menjadi jenama pilihan dalam keluarga saya, jadi ia menjadikan ia sesuatu yang lebih istimewa lagi.
“Saya sangat bersyukur atas peluang ini, terima kasih Audi Sport,”kata Weiron.
Weiron, 24, menikmati musim 2018 yang cemerlang apabila dirinya bersama rakan sepasukan senegara Jazeman Jaafar dan Nabil Jeffri mencipta sejarah tersendiri di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC).
Trio kebanggaan negara itu muncul selaku satu-satunya barisan lengkap pemandu Malaysia yang memenangi perlumbaan dalam siri perlumbaan WEC di saingan Enam Jam Fuji tahun lalu.- UTUSAN ONLINE











