Air adalah sumber semula jadi yang menjadi keperluan harian setiap individu. Selaras dengan peredaran zaman, ia semakin mudah didapati. Jika kita lihat pada zaman dahulu, nenek moyang kita terpaksa berulang alik dari perigi batu ke rumah untuk mendapatkan sumber air.
Namun kini hidup kita lebih senang apabila tidak lagi memerlukan perigi batu untuk mendapatkan bekalan air. Walau bagaimanapun, apabila berlaku gangguan bekalan air seperti paip bocor, pihak berkuasa air di kawasan tersebut terpaksa menutup bekalan air bagi menyiapkan proses pembaikan paip itu. Secara tidak langsung, bekalan air di rumah kita turut terganggu.
Pada edisi kali ini, Zull Design Autotronic (ZDA) akan memperkenalkan sistem telaga tiub. Ia merupakan salah satu kaedah yang boleh digunakan untuk mendapatkan bekalan air dengan mudah dan menjimatkan ruang.
Telaga tiub ialah alternatif lain untuk perigi batu. Ia mempunyai fungsi yang sama dengan perigi batu, namun terdapat banyak perbezaan dan kebaikan dari segi ruang, saiz, cara pengendalian dan kos penyelenggaraan.
Telaga tiub digunakan untuk mendapatkan air dari sumber bawah tanah dengan menggunakan pam dan air akan disalurkan melalui paip. Pam ini menggunakan tenaga solar sepenuhnya dan tidak memerlukan penggunaan elektrik langsung.
Paip yang digunakan bersaiz sederhana bagi memudahkan pengaliran air melalui paip tersebut.
Tanah pula perlu digali sedalam 20 meter atau lebih bagi memastikan terdapat sumber air di kawasan itu. Walau bagaimanapun, kedalaman galian adalah bergantung pada sesuatu kawasan tersebut.
Terdapat banyak kebaikan dan kelebihan yang boleh diperoleh apabila telaga tiub ini dipasangkan di rumah antaranya ialah ia tidak terdedah dengan pencemaran udara seperti asap dan jerebu serta cuaca yang tidak baik pada waktu ini. Ia adalah air yang mengalir terus dari bawah tanah ke paip rumah.
Selain itu, untuk memasang telaga tiub ini tidak memerlukan kawasan atau tanah yang besar kerana bahagian yang digali adalah kawasan yang berkaitan sahaja sekadar cukup untuk memasukkan paip ke dalam tanah.
Proses penggalian adalah lebih cepat berbanding pembinaan perigi batu. Ia boleh disiapkan dalam tempoh satu minggu sahaja. Kos pemasangan yang rendah juga merupakan satu faktor yang menyebabkan permintaan tinggi terhadap telaga tiub.
Namun, perkara yang paling utama ialah faktor keselamatan. Telaga tiub sangat sesuai dan selamat untuk dipasang di kawasan rumah kerana ia tidak mempunyai sebarang lubang besar yang terbuka jika ibu bapa risaukan keselamatan anak mereka.
SPESIFIKASI
Jenis paip : PVC saiz paip : 5 inci
Motor : Enjin petrol atau enjin diesel.
Pam penekan (hidraulik).
Pam untuk menyedut air dari sumber bawah tanah.











