MELAKA – Seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah rumah kedai barangan lusuh industri kecil dan sederhana (IKS) di Padang Temu di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, mangsa yang masih belum dikenalpasti identiti ditemui rentung dalam keadaan tersandar pada dinding di sebuah bilik di bangunan tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan kebakaran tersebut pada pukul 12.45 tengah malam dan sepasukan Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian, pasukan bomba telah berada di lokasi bagi kerja-kerja memadam kebakaran.
“Pemeriksaan lanjut di rumah kedai tersebut menemui mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan telah rentung di sebuah bilik bahagian belakang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Raiz Mukhliz berkata, pemeriksaan pada badan si mati tidak menemui sebarang kesan jenayah.
“Mayat telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes setakat ini diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu, Penguasa Bomba Samser Shariff berkata, panggilan kecemasan diterima kira-kira pukul 12.17 tengah malam dan seramai 23 anggota termasuk dari BBP Jalan Kubu dan Bukit Katil dikejarkan ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba dua minit kemudian dan mendapati sebuah rumah kedai berkeluasan 278 meter persegi telah terbakar kira-kira 50 peratus manakala semua barangan lusuh telah musnah.
“Pasukan kami turut menjumpai seorang lelaki berusia lingkungan 50-an telah rentung dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis. Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 1.42 pagi,” katanya. – K! ONLINE











