Penantian 7 tahun Roisah berakhir - Utusan Malaysia

Penantian 7 tahun Roisah berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 28 Mac- Penantian selama tujuh tahun seorang pelajar cemerlang tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, Roisah Abdullah, 22, untuk mendapatkan status kewarganegaraan berakhir apabila kerajaan meluluskan permohonannya baru-baru ini.

ROISAH ABDULLAH menunjukkan surat kelulusan status kewarganegaraan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini. – UTUSAN ONLINE

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kapar Indah, Klang itu pernah membuat permohonan kewarganegaraan pada 2013 namun, tidak diluluskan sebelum dia yang dibantu oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencuba sekali lagi tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Roisah berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan permohonannya pada 12 Mac lalu sekali gus memudahkan segala urusan hariannya termasuk untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA).

“Selama ini, saya tidak boleh membuat akaun bank, memohon lesen kenderaan malah terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta.

“Selepas mendapat status kewarganegaraan, hidup saya pasti berubah. Perkara pertama selepas ini, saya mahu membuat kad Transit Aliran Ringan (LRT) bagi memudahkan pergerakan ulang-alik ke Universiti Tun Abdul Razak(Unirazak),” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, Roisah tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi meskipun memperoleh 3A dan 1B dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), mencatat 7A dan 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ibu Roisah merupakan warga Filipina manakala identiti bapanya tidak diketahui dan dia dibesarkan oleh seorang ibu angkat warga tempatan.

Roisah kini merupakan pelajar semester ketiga jurusan perakaunan di Unirazak dan merupakan anak angkat kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Bercerita lanjut mengenai kehidupan tanpa status kewarganegaraan, Roisah berkata, sebelum ini, dia pernah membuat permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) namun ditolak disebabkan tiada sebarang dokumen pengenalan diri.

“Sewaktu bersekolah, keluarga angkat saya perlu membayar levi sebanyak RM240 setiap tahun kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dan masuk ke sekolah sebagai warganegara asing,” katanya.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, beliau berharap status kerakyatan yang diperoleh Roisah dapat memberi kelebihan kepadanya untuk memasuki UA selepas ini.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini