ASP Bukit Aman didakwa lagi  - Utusan Malaysia

ASP Bukit Aman didakwa lagi 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Seorang pegawai kanan polis Bukit Aman berpangkat Asisten Superintendan (ASP) didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas satu pertuduhan meminta suapan RM1.5 juta sebagai balasan menyelesaikan kes pengedaran dadah, kira-kira dua tahun lalu.

Tertuduh, Gan Chee Liang, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Pertuduhan baharu itu menjadikan Chee Liang yang berkhidmat di Jabatan Narkotik Bukit Aman itu berdepan lima pertuduhan berhubung rasuah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tertuduh yang memakai pakaian serba biru gelap itu didakwa telah meminta rasuah sebanyak RM1. 5 juta daripada Viktor Goh, 38, untuk diri sendiri sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Penolong Penguasa Polis Diraja Malaysia sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes Victor yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah bilik Lokap Berpusat Polis Shah Alam pukul 11 pagi pada 10 Mac 2017.

Justeru, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika disabit kesalahan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama. 

Pegawai Pendakwa SPRM, Wan Ahmad Nidzam Wan Omar mencadangkan wang jaminan RM100,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.

Bagaimanapun, Peguam Chong Kak Sen mewakili tertuduh memohon wang ikat jamin dikurangkan kepada RM10,000 susulan anak guamnya telah diikat jamin RM80,000 bagi semua empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas kes yang sama. 

“Siasatan kes dijalankan sejak 2017 dan anak guam saya ditahan pada tahun itu serta tidak pernah gagal melaporkan diri ke pejabat SPRM. 

“Saya percaya wang ikat jamin termasuk jaminan tambahan dikenakan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sudah mencukupi,” katanya. 

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin. 

Tarikh sebutan semula kes pada 29 April depan.

Kosmo! hari ini melaporkan Chee Liang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas empat pertuduhan menerima suapan sebanyak RM1.35 juta, dua tahun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini