Malaysia terus desak Israel hormat undang-undang antarabangsa - Utusan Malaysia

Malaysia terus desak Israel hormat undang-undang antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 27 Mac – Malaysia terus mendesak Israel supaya menghormati undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang relevan untuk memelihara kedamaian, keamanan dan kestabilan di Semenanjung Gaza.

Desakan itu dibuat ekoran tindakan rejim Zionis itu menggunakan kekerasan yang tidak adil sebagai tindak balas terhadap insiden keganasan di rantau tersebut baru-baru ini.

Wisma Putra dalam kenyataannya memberitahu, sebarang provokasi dan ancaman akan menghalang usaha untuk mencapai keamanan di kawasan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Oleh itu, adalah penting bagi semua pihak segera mematuhi gencatan senjata yang sudah diisytihar untuk mengelakkan daripada keadaan menjadi bertambah buruk,” menurut Wisma Putra di sini hari ini.

Menurut Wisma Putra lagi, perkembangan terbaharu di Gaza itu terus mencerminkan satu situasi yang sangat membimbangkan.

Menurutnya, sejarah telah menunjukkan bahawa tindakan-tindakan tidak bertanggungjawab seumpama itu mempunyai potensi untuk menjadikan keadaan bertambah buruk serta membahayakan nyawa masyarakat awam Palestin yang tidak berdosa.

“Malaysia amat khuatir dengan peningkatan keganasan di Gaza. Sejak beberapa hari lalu, kedua-dua pihak berkenaan telah terlibat dalam siri pelancaran roket.

“Ratusan roket telah dilancarkan dari pesawat perang serta aset ketenteraan Israel yang berkumpul di sempadan Gaza menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang awam Palestin,” jelas Wisma Putra.

Sementara itu, Malaysia membantah keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam yang mengiystiharkan Bukit Golan di Syria sebagai milik Israel.

Wisma Putra menegaskan, Malaysia tidak menerima terhadap keputusan itu dalam mengiktiraf kedudukan paksa dan tidak sah terhadap tanah yang dimiliki oleh negara berdaulat.

“Malaysia justeru itu menyeru Amerika Syarikat untuk menghormati dan menegakkan tanggungjawabnya di bawah Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 497.

“Israel mesti menarik balik sepenuhnya daripada menduduki Golan yang merupakan milik Syria dan ini selaras pendirian Malaysia bahawa tanah berdaulat mesti dikembalikan ke negara asal,” kata kenyataan itu.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini