JOHOR BAHRU 27 Mac – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 1,271 karton rokok putih pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM128,700 dipercayai diseludup dari negara jiran.
Rampasan itu hasil serbuan di sebuah rumah dalam pembinaan yang disyaki dijadikan stor transit penyeludupan rokok di Parit Yaani dekat Batu Pahat pada 11.20 malam semalam.
Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, hasil siasatan awal mendapati, rokok seludup yang dirampas itu adalah untuk diagihkan ke pasaran tempatan.
“Hasil serbuan dijalankan Unit Risikan Marin (URM) PPM Wilayah Dua menemukan sejumlah 1,271 karton rokok putih pelbagai jenis dengan nilai rampasan dianggarkan RM 128,691,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan sedang giat dijalankan pihaknya termasuk mengenalpasti dalang terlibat.
Tambahnya, pada masa sama, pihaknya akan mengambil tindakan susulan dengan mempertingkatkan operasi bagi memastikan kegiatan penyeludupan rokok dibanteras sepenuhnya.
Sementara itu, PPM Wilayah Dua menyeru masyarakat terutama yang tinggal berdekatan kawasan pesisir pantai menyalurkan maklumat mengenai kegiatan yang menyalahi undang-undang termasuk penyeludupan.
“Bilik Gerakan PPM Wilayah Dua boleh dihubungi di talian 07-2372221 dan 07-2372222 untuk sebarang penyaluran maklumat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











