KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan antara 4.3 hingga 4.8 peratus tahun ini, berbanding 4.7 peratus yang dicatatkan tahun lalu.
Gabenor bank pusat, Datuk Nor Shamsiah Yunus berkata, pertumbuhan itu bakal didorong oleh perbelanjaan sektor swasta yang berdaya tahan, pemulihan bekalan dalam sektor komoditi dan permintaan berterusan daripada rakan dagangan utama negara.
Menurutnya, pada tahun 2019 keadaan ekonomi kekal mencabar dengan jangkaan pertumbuhan global yang perlahan dan pelbagai risiko yang boleh menjejaskan prospek ekonomi global serta keadaan pasaran dunia.
“Kami menjangkakan perbelanjaan swasta akan mula menyederhana pada 2019 namun kekal kukuh, dengan pertumbuhan gaji dan peluang pekerjaan yang stabil akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah.
“Melalui kaji selidik Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mendapati majikan bercadang untuk memberi kenaikan gaji dan bonus manakala dalam pertemuan kami dengan pelbagai industri, 92 peratus menyatakan mahu meneruskan pengambilan pekerja baharu pada 2019,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pembentangan Laporan Tahunan 2018 dan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2018 yang dikeluarkan BNM di sini semalam.
Menurut Nor Shamsiah, kadar inflasi tahun ini diunjurkan menyederhana kepada 0.7 hingga 1.7 peratus.
Ia dipengaruhi oleh harga minyak dunia yang diramalkan lebih rendah, pada purata AS$59 (RM240.24) setong (2018: AS$69 (RM281.02)) selain harga siling yang ditetapkan untuk petrol RON95 pada RM2.08 seliter dan diesel pada RM2.18 seliter sehingga pertengahan tahun ini.
Katanya, Malaysia tidak mengalami deflasi meskipun indeks harga pengguna (CPI) mencatatkan penurunan tahun ini pada kadar -0.7 peratus pada Januari dan -0.4 peratus pada Februari.
“Deflasi terjadi apabila harga barangan menurun secara meluas, kami tidak melihat penurunan harga secara meluas yang disebabkan daripada kekurangan permintaan.
“Kadar inflasi negatif baru-baru ini adalah berpunca daripada harga bahan api di pasaran tempatan yang lebih rendah.
“Ini berbeza dengan situasi deflasi yang mana perbelanjaan merosot teruk sehingga firma terpaksa menurunkan harga untuk menarik pelanggan,” katanya.











