Palang Prachat tidak tergesa-gesa bentuk kerajaan - Utusan Malaysia

Palang Prachat tidak tergesa-gesa bentuk kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK 27 Mac – Parti protentera, Palang Pracharat, mendakwa sedang berunding dengan beberapa parti untuk membentuk gabungan yang stabil tetapi tidak tergesa-gesa untuk menubuhkan kerajaan baharu Thailand.

Pemimpin parti itu, Uttama Savanayana, bagaimanapun, enggan mendedahkan parti yang terlibat dalam rundingan itu serta jumlah kerusi yang disasarkan untuk dicapai.

Beliau berkata ‘masih ada banyak masa’ untuk proses rundingan kerana keputusan rasmi pilihan raya umum hanya akan diumumkan pada 9 Mei ini.

“Kami sedang berbincang dengan parti kecil dan besar. Kami yakin dapat mencapai jumlah kerusi yang diperlukan untuk membentuk sebuah kerajaan,”katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan sokongan terhadap mengekalkan Prayut Chan-o-cha sebagai Perdana Menteri merupakan salah satu syarat dalam perbincangan dengan parti yang berkongsi ideologi politik sama dengan mereka.


“Kami akan memastikan jumlah kerusi yang sebanyak mungkin untuk membentuk gabungan. Kami tidak menyekat sesiapa sahaja untuk membentuk sebuah kerajaan baharu,” sambil menjelaskan rakyat mengharapkan proses menubuhkan kerajaan berjalan lancar.

Semalam, calon perdana menteri daripada parti Pheu Thai, Sudarat Keyuraphan berkata, Palang Pracharat cuba membentuk sebuab gabungan walaupun gagal memenangi jumlah besar kerusi pada pilihan raya itu Ahad lalu.

Awal hari ini, Pheu Thai, yang mempunyai kaitan dengan bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra dan enam lagi parti gabungan, mendakwa mempunyai sekurang-kurangnya 255 kerusi untuk membentuk kerajaan baharu.

Sudarat berkata enam parti lain yang menyertai gabungan itu ialah Parti Future Forward, Seri Ruam Thai, Prachachart, Pheu Chart, Thai People Power dan New Economics. – BERNAMA

Memuatkan artikel berkaitan…
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini