JEMPOL – Sebuah keluarga di Bandar Tun Razak, Pahang percaya mayat seorang lelaki yang ditemukan di dalam sebuah kolam agihan bekalan air di Palong 12 dekat sini merupakan ahli keluarga mereka.
Mayat itu dipercayai penuntut tahun akhir Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Raub,

Muhammad Aiman Hakim Mat Ani, 22, yang dilaporkan hilang sejak 9 Julai tahun lalu.
Abang Muhammad Aiman, Afiq, 24, berkata, dia dan keluarganya percaya mayat itu adik lelakinya berdasarkan pakaian pada mayat selepas mereka dipanggil membuat pengecaman mayat oleh polis baru-baru ini.
“Pengecaman ke atas bentuk fizikal sukar dilakukan disebabkan keadaan mayat yang hancur. Buat masa ini, mayat disimpan di Bilik Mayat Hospital Jempol sehingga ujian DNA selesai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Afiq berkata, Muhammad Aiman hilang selepas dia keluar dari rumah mereka di Jalan Keratong Indah 16, Desa Keratong Indah, Bandar Tun Razak dengan menunggang motosikal jenis Modenas MR1.
Jelasnya, dia dan keluarga berasa sangat sedih dengan kejadian menimpa Muhammad Aiman yang sepatutnya menamatkan pengajian tidak lama lagi.
Dalam pada itu, Afiq memohon kepada anggota masyarakat supaya berhenti daripada mengeluarkan komen yang mengguris perasaan keluarganya di media sosial berhubung insiden itu.
Katanya, dia sekeluarga terutama ibu bapanya sangat terkesan dengan kejadian itu selepas sekian lama merindui Muhammad Aiman. – UTUSAN ONLINE











