PRAGUE 27 Mac – Pemain gantian, Gabriel Jesus meledak dua gol pada lewat permainan untuk membantu Brazil bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Republik Czech 3-1 dalam aksi persahabatan di sini hari ini.
Penyerang Manchester City itu menyempurnakan hantaran cantik David Neres untuk jaringan pertamanya pada minit ke-83, sebelum meledak gol kedua peribadi ketika permainan menunggu masa untuk ditamatkan.
Terdahulu, tuan rumah bermula baik dengan mendahului menerusi David Pavelka pada minit ke-37, namun Roberto Firmino menyamakan kedudukan, empat minit kemudian.
“Saya sangat gembira dengan Gabriel Jesus dan telah membuat keputusan tepat apabila membawa dia masuk pada babak kedua.
“Republik Czech lebih kreatif pada separuh masa pertama dan kami jelas kekurangan dalam aspek ini.
“Saya terkejut dengan hantaran-hantaran cantik yang dilakukan pasukan lawan tetapi kemasukan pemain gantian pada babak kedua memberi kombinasi lebik baik kepada kami,” kata jurulatih Brazil, Tite.
Kedua-dua pasukan mencari kemenangan dalam perlawanan itu sebagai penawar duka selepas mengharungi detik mengecewakan beberapa hari sebelumnya.
Republik Czech dibelasah 5-0 oleh England dalam kelayakan Euro 2020 di Wembley, Sabtu lalu.
Brazil yang melakukan persiapan menghadapi Copa America, Jun ini diikat 1-1 oleh Panama dalam aksi persahabatan pada hari yang sama. – AGENSI











