KUALA LUMPUR 25 Mac – Skuad ragbi tujuh sebelah lelaki dan wanita negara tetap membanggakan biarpun hanya muncul juara Plate Kejohanan Kelab-kelab Antarabangsa Borneo Ke-18, 2019 di Sandakan, Sabah, semalam.
Rimau (lelaki) dan Panthera Lady (wanita) memenangi perlawanan penentuan tempat kelima itu di Padang Kelab Ragbi Eagles masing-masing dengan mengalahkan Wipers Tsunami Labuan 17-14 dan Sabah Eagles 24-12.
Kejayaan muncul juara Plate itu wajar menjadi tonik semangat menjelang misi utama skuad lelaki bimbingan Saizul Hafifi Md. Noor, mempertahankan pingat emas ragbi tujuh sebelah Sukan SEA Ke-30 di Filipina, November ini.
Terdahulu Rimau disekat Iconz Australia 38-0 pada suku akhir setelah muncul naib juara Kumpulan B dengan menewaskan Coloundra 28-0 dan dikalahkan Hong Kong 42-7 sebelum ke separuh akhir Plate dan membenam Thailand 42-7.
Rimau meraih AS$1,500 (RM6,097) manakala Panthera Lady bimbingan Nik Safuan Ismade Nik Man yang beroleh AS$1,000 (RM4,070) turut membayangkan prospek pingat Sukan SEA nanti setelah menundukkan Singapura 27-0 dalam separuh akhir Plate.
“Saya akui pasukan negara perlu banyak diperbaiki lagi dalam kejohanan pertama yang kami sertai tahun ini. Kejayaan ini tetap satu petanda positif kerana belum pernah meraih Plate Kejohanan Borneo.
“Aksi terbaik kami ialah menentang Thailand dengan keserasian pemain dan semangat sepasukan begitu ketara, cuma pertahanan perlu banyak digilap lagi,” kata Saizul.
Pasukannya yang masih tanpa khidmat kapten, Zulkifli Azmi yang terikat dengan komitmen kerja tetap, bakal ke Thailand dan Jepun bagi siri perlawanan persahabatan, bulan depan dan Jun. – UTUSAN ONLINE











