India ‘sasaran’ terbaharu Malaysia - Utusan Malaysia

India ‘sasaran’ terbaharu Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Mac – Kombinasi pemain senior dan muda meletakkan Malaysia pada landasan terbaik untuk menjuarai edisi ke-28 Piala Sultan Azlan Shah, biarpun pengendali hoki kebangsaan, Roelant Oltmans tidak mahu pasukannya terlalu memikirkan mengenai kejuaraan kerana persaingan masih panjang.

Tiga tonggak senior, diketuai penyerang sensasi, Faizal Saari, adiknya, Mohd. Fitri Saari serta pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abd Rahim membentuk kombinasi mantap bersama pemain muda seperti Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Mohd. Ashran Hamsani.

Hasilnya, Malaysia memulakan kempen dengan membelasah Poland 5-1 yang mana Faizal meledak hatrik, malah dia turut menjaringkan dua gol ketika membantu pasukan negara menundukkan Jepun 4-3 semalam, sekali gus mendahului senarai penjaring terbanyak dengan lima gol.

Memuatkan artikel berkaitan…

Nik Aiman turut mencetak nama sebagai penjaring semalam manakala Ashran sebelum itu meledak gol menerusi pukulan sudut penalti dalam pertemuan dengan Poland.

“Kualiti yang dimiliki pemain simpanan amat bagus. Biarpun mereka masih muda tetapi pemain-pemain ini memiliki skil dan tahap keyakinan tinggi.

“Kami pemain senior menggalakkan mereka mengeluarkan segala yang terbaik dan jangan bimbang melakukan kesilapan di atas padang,” kata Fitri, yang dinobat sebagai Pemain Terbaik dalam perlawanan menentang Jepun.

Selepas mengumpul enam mata maksimum dalam dua perlawanan, Malaysia yang menghuni ranking ke-13 dunia kini akan menentang pasukan tangga kelima, India – pilihan utama untuk menjuarai Piala Sultan Azlan Shah.

Ketika ditanya peluang pasukannya untuk menewaskan juara Asia itu dan menamatkan kemarau 36 tahun dalam Piala Sultan Azlan Shah kali ini, Oltmans tidak mahu mereka terlalu memikirkan sejauh itu.

“Saya tidak suka bercakap tentang final dan kejuaraan ketika kami masih ada beberapa perlawanan untuk diharungi. Sebaiknya, kita fikir tentang aksi seterusnya.

“Esok tumpuan terarah kepada India sepenuhnya. Kami perlu fikirkan permainan, pemain harus memastikan pukulan sudut penalti dapat dilakukan dengan baik, perbaiki permainan berbanding ketika menentang Poland dan Jepun.

“Tidak kira bertemu India, Korea Selatan atau Kanada, mereka sentiasa memberikan cabaran sengit. Kami kena bekerja keras,” katanya.

Oltmans, 64, berkata, dia sudah mempunyai strategi untuk menghadapi India tetapi tidak akan berkongsi dengan media. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini