KUALA LUMPUR 25 Mac – Pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai berazam untuk menampilkan aksi konsisten di kejohanan badminton Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Axiata Arena bermula 2-7 April ini.
Pasangan negara itu tampil dengan aksi meyakinkan dalam beberapa siri kejohanan sebelum ini termasuk melangkah ke separuh akhir All England selain mara ke suku akhir Malaysia dan Indonesia Masters.
Soon Huat berkata, gandingannya bersama Shevon dilihat semakin baik dan pencapaian di All England menjadi perangsang untuk mereka meraih keputusan lebih baik terutama bagi menghadapi aksi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Pada masa sama, dia mengharapkan persembahan lebih baik terutama di hadapan penyokong sendiri semasa beraksi di kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 750 bernilai AS$700,000 (RM2.89 juta)itu.
“Fokus kami sekarang ialah untuk Terbuka Malaysia dan persediaan kami berjalan dengan baik.
“Prestasi kami juga jelas ada peningkatan terutama di All England dan kini ranking dunia kami sudah semakin baik, jadi kami mahu menjadi lebih baik.
“Dalam setiap kejohanan yang kami sertai, sasaran awal kami ialah untuk mara ke suku akhir terlebih dahulu,” katanya yang kini berada di kedudukan kesembilan dunia.
Pasangan beregu campuran No.2 negara itu akan berdepan cabaran Alfian Eko Prasetya-Marsheilla Gischa Islami dan bakal berdepan cabaran pilihan keempat dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai sekiranya berjaya ke pusingan kedua. – UTUSAN ONLINE











