BANGKOK 25 Mac – Pilihan raya umum Thailand yang disifatkan sebagai referendum penerimaan rakyat terhadap pentadbiran junta tentera dilihat gagal memperoleh mandat yang jelas daripada pengundi, selain negara ini terus dijangka berdepan konflik kuasa dan perpecahan dalam Parlimen.
Channel News Asia melaporkan, selepas lima tahun negara ini ditadbir di bawah pemerintahan tentera susulan rampasan kuasa pada 2014, rakyat Thailand dilihat bersemangat keluar mengundi untuk memilih pentadbiran kerajaan pada masa akan datang.
Namun, keputusannya dijangka masih tidak dapat menyelesaikan banyak masalah yang memecahbelahkan Thailand sejak kebelakangan ini.
Jeneral Prayut Chan-o-cha yang bertanding mempertahankan jawatannya sebagai Perdana Menteri menerusi Parti Palang Pracharat (PPRP) melahirkan keyakinan kerajaan pimpinannya ‘dapat menyelesaikan semua masalah itu’.
Tetapi, ‘kemenangannya’ boleh menyebabkan semua pemimpin parti lain mempunyai keupayaan yang terhad atau langsung tiada dalam menggubal undang-undang di Parlimen.
Sehingga kini, PPRP mendahului parti lain dengan meraih kira-kira 7,938,893 undi popular, selain mempunyai kelebihan dengan ‘memiliki’ 250 Senator yang dipilih junta untuk bertanding.
Keistimewaan tersebut menunjukkan Prayut dengan mudah mendapat sokongan yang diperlukan untuk mempertahankan jawatan.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada perubahan dalam sistem pilihan raya yang diperkenalkan oleh tentera dalam usaha mengalahkan pihak pembangkang.
Namun, langkah tersebut disifatkan oleh pembangkang sebagai tidak adil.
Keputusan awal undi popular juga menunjukkan PPRP diikuti rapat oleh Parti Pheu Thai yang diwujudkan oleh bekas Perdana Menteri Thailand yang kini hidup dalam buangan, Thaksin Shinawatra apabila meraih sebanyak 7,422,600 undi.
Terkini, Pheu Thai dilaporkan menang 138 kerusi di Parlimen manakala parti pro-tentera cuma memperoleh 96 kerusi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (EC).
Bekas Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva pula meletak jawatan sebagai pemimpin Parti Demokrat susulan prestasi buruk parti itu.
Terdapat kekeliruan mengenai keputusan pilihan raya dengan EC mengumumkan keputusan penuh akan diketahui pada 9 Mei ini. – AGENSI/BERNAMA











