KUALA LUMPUR 25 Mac – RAM Ratings Services Bhd., jangka prospek sektor perbankan tempatan tahun ini kekal stabil, mencerminkan asas industri yang kukuh.
Ketua Bersama Penarafan Institusi Kewangan RAM, Wong Yin Ching berkata walaupun terdapat cabaran, agensi penarafan itu menjangkakan bank dapat mengekalkan prestasi mereka tahun ini.
“Antara jangkaan utama bagi sektor itu termasuk penyederhanaan dalam pertumbuhan pinjaman kepada lima peratus, kos kredit meningkat dari asas rendah, penampan modal untuk kekal kukuh dan mudah tunai yang mencukupi, walaupun persaingan untuk deposit masih ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah pertumbuhan pinjaman lima peratus yang diunjurkan mengambil kira ramalan penyederhanaan dalam pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan dapatan terbaru indeks keyakinan perniagaan RAM.
“Indeks berada di peringkat terendah sejak permulaannya dua tahun lalu, walaupun masih berada di atas petunjuk sentimen positif.
“Permohonan dan kelulusan pinjaman, kedua-duanya merupakan petunjuk utama, mencatatkan kenaikan perlahan masing-masing sebanyak dua peratus dan lima peratus pada tahun 2018 berbanding tahun sebelumnya,” kata Wong.
Sementara itu, seorang lagi ketua bersama agensi itu Sophia Lee berkata, nisbah pinjaman kasar sistem perbankan berakhir 2018 merosot, 1.45 peratus berbanding 1.55 peratus pada 2017.
“Kami menjangkakan nisbah ini berada di bawah 1.6 peratus pada tahun 2019, walaupun terdapat beberapa kemerosotan bagi segmen lemah, seperti hartanah komersial, pembinaan dan minyak dan gas (O&G) serta isi rumah berpendapatan rendah,” katanya.
Menurut Lee, kalangan bank telah mengambil langkah sepatutnya bagi segmen O&G mereka, memandangkan penurunan itu bermula empat tahun lepas.
“Mereka juga berhati-hati terhadap hartanah komersial kerana pertumbuhan tahunan pinjaman untuk pembelian hartanah bukan kediaman merosot dari paras dua digit sebelum 2016 hingga 2.0 peratus pada 2018,” katanya.
Beliau berkata walaupun hutang isi rumah menurun sejak 2016, nisbah hutang kepada KDNK iaitu 83.8 peratus pada akhir Jun 2018 masih tinggi, berbanding KDNK per kapita negara.
“Terdapat cabaran daripada segmen berpendapatan rendah seperti individu yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan dan kalangan peminjam yang bekerja sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, Lee berkata pinjaman pendeposit berpendapatan rendah telah berkurangan kepada 20 peratus daripada jumlah hutang isi rumah pada akhir Jun 2018 berbanding 24 peratus pada akhir bulan Disember 2014.
“Langkah macroprudential yang diperkenalkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini akan membantu memelihara kualiti kredit pinjaman isi rumah. Selain itu, kadar pengangguran negara kekal rendah pada 3.3 peratus pada Disember 2018 manakala kadar faedah kekal akomodatif.
“Bank Negara Malaysia akan melonggarkan dasar kewangan jika risiko terhadap pertumbuhan ekonomi menjadi lebih ketara,” katanya.
Beliau berkata meskipun wujud tekanan terhadap perolehan, lapan kumpulan perbankan utama masih mampu meningkatkan agregat keuntungan sebelum cukai mereka, tidak termasuk item luar biasa atau tidak berulang iaitu enam peratus pada 2018 disebabkan oleh caj penurunan nilai dan disiplin kos yang tinggi.
“Pulangan purata pracukai bank terhadap aset (ROA) kekal stabil pada 1.4 peratus. Dengan pertumbuhan pinjaman berterusan dan kawalan kos yang sedang dilaksanakan, ia akan mengurangkan kesan tekanan terhadap margin dan kos kredit tambahan.
“Walaupun perbelanjaan teknologi/digital akan meningkat, ini akan dilaksanakan pada kadar yang ditetapkan. Oleh itu, RAM menjangkakan ROA pracukai bank kekal kukuh ada 2019, walaupun dengan sedikit kecenderungan menurun,” kata Lee. – BERNAMA











